KUALA LUMPUR: Masih terlalu awal untuk menolak rundingan kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, kata beliau, kekuatan harus dibina bersama untuk membentuk kerajaan baharu di Johor, justeru kerjasama daripada semua parti adalah diperlukan untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) yang kini dilihat mampu memang bergaya pada PRN berkenaan.
“Kami bersikap terbuka, sesiapa yang nak bersama boleh, kalau mereka dah buat pendirian sekalipun, ia masih terlalu awal. Pendirian kita adalah untuk merangkul semua kekuatan bagi mengembalikan kerajaan negeri di Johor, jadi mana-mana parti yang ingin bersama kita, ia satu kebaikan.
“Cuma setakat ini, agihan kerusi antara PH sudah dimuktamadkan, terpulang kepada parti lain sekiranya ingin melakukan perbincangan untuk menentukan strategi di beberapa kawasan. Tidak semestinya kita yang hubungi mereka, sebab ia dinamik, bukan satu hala sahaja,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Fahmi, keterbukaan itu adalah sebagai pengajaran yang diambil daripada PRN Melaka dan Sarawak, justeru pembangkang harus memperbaiki mutu jentera dan beberapa kelemahan untuk menjadi kerajaan di Johor.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun belum buat sebarang pengumuman, ruang masih ada dan yang kita inginkan adalah satu saf pembangkang yang fokus untuk menggantikan kerajaan sebelum ini dengan kerajaan yang lebih telus dan lebih menjaga kebajikan rakyat,” ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya berkata, parti itu tidak akan bekerjasama atau menyertai mana-mana gabungan termasuk dengan PH, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN Johor.
Ini kerana jelas Marzuki, kewajaran menolak tawaran PH kerana gabungan itu seolah-olah menjadi sebahagian daripada kerajaan sejak memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi transformasi dan kestabilan politik pada 13 September 2021.
Begitu juga dengan Warisan, ketua Wiranya, Datuk Mohd. Azis Jamman membayangkan bahawa Warisan mahu bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri nanti, namun kenyataan beliau itu adalah bersifat peribadi.
Bercakap tentang kesediaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ingin bekerjasama dengan PH pada PRN Johor nanti, namun tanpa DAP, Fahmi berkata, parti berkenaan harus menerima perjuangan PH sebelum kerjasama diteruskan.
“Kalau kita lihat dengan mata kasar, Bersatu hadapi masalah di Johor, contohnya Mazlan Bujang pun keluar dan saya dengar ada beberapa ADUN lagi juga akan keluar, itu masalah Bersatu dan PH tidak masuk campur. Jadi asas kerjasamanya adalah Bersatu perlu terima landasan perjuangan PH. Kalau mana-mana parti bersedia untuk menerima prinsip tersebut, ruang isu sudah pasti akan ada.
“Tetapi seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebutkan, Bersatu ini pembangkang kah?” sinisnya.











