Bersatu mahu kerjasama dengan PH tetapi tanpa DAP - Utusan Malaysia

Bersatu mahu kerjasama dengan PH tetapi tanpa DAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Dua strategi dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam mesyuarat yang dijalankan malam semalam bagi mendepani Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Strategi tersebut ialah menjalankan kerjasama dengan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) tanpa DAP, sementara strategi kedua adalah tindakan menarik sokongan daripada kerajaan sedia ada.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, perkara ini akan dibawa dalam Mesyuarat Biro Politik Bersatu dalam masa terdekat.

“Banyak cadangan yang dibincangkan malam tadi bermula dengan mesyuarat Badan Perhubungan Negeri (BPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, kemudian diteruskan dengan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Antara cadangannya, kesemua di antara mereka berpendirian menolak kerjasama dengan UMNO pada PRN Johor dan berkemungkinan akan bekerjasama dengan PKR dan Amanah, tiada DAP.

“Setakat ini, Amanah memberi respons yang baik. PKR sahaja belum tahu lagi bagaimana responnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Namun begitu, cadangan di peringkat BPN untuk menarik sokongan daripada kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disambut positif Ketua Armada, Wan Fayshal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun.

Ini kerana menurut sumber lagi, UMNO akan terus merancang untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Perak selepas Johor bagi mengumpul kekuatan dan sokongan rakyat terhadap parti itu.

“Sebab itu, ada yang memberi cadangan supaya sokongan terhadap kerajaan Persekutuan perlu ditarik serta merta. Bila masanya? Itu akan ditentukan biro politik nanti,” ujarnya lagi.

Jelas sumber itu, pendirian Bersatu juga akan dibincang dalam mesyuarat Perikatan Nasional (PN) bersama Pas meskipun parti Islam itu cuba berunding dengan UMNO bagi menjalinkan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) di Johor.

“Kita yakin Pas akan bersama Bersatu sebab rundingan kerjasama mereka dengan UMNO mengundang rasa tidak senang apabila hanya empat kerusi diberi kepada Pas untuk bertanding,” ujarnya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×