PETALING JAYA: Kira-kira 3,000 bas ekspres daripada 110 syarikat di bawah Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) bersedia membawa orang ramai pulang meraikan Hari Raya Aidilfitri, awal Mei ini.
Persediaan itu selepas kerajaan memberi jaminan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, negeri mahupun daerah meskipun terdapat peningkatan jumlah kes positif Covid-19.
Presiden PMBOA, Datuk Mohamad. Ashfar Ali berkata, jaminan kerajaan itu adalah satu kelegaan kepada banyak pihak terutama pengusaha bas ekspres, namun masih terlalu awal untuk membuat sebarang perancangan.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya tetap menyediakan bas ekspres dan sedia menambah kapasiti sekiranya mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai untuk pulang berhari raya di kampung halaman.
“Jualan tiket pulang berhari raya dijangka dibuka sebulan awal atau pada awal Ramadan ini bagi membolehkan penumpang membuat tempahan namun ia tetap bergantung kepada arahan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Mohamad. Ashfar menasihatkan orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan bas ekspres tidak menunggu hingga ke saat akhir untuk membeli tiket bagi membolehkan pengusaha bas ekspres bersedia dengan sebarang penambahan kapasiti bas ekspres.
Katanya, banyak proses diperlukan untuk membuat penambahan bas ekspres sekiranya ada keperluan dan permintaan daripada orang ramai yang mahu mendapatkan perkhidmatan pengangkutan itu.
Berhubung jualan tiket bagi sambutan Tahun Baharu Cina, Mohamad. Ashfar berkata, pihaknya mendapat banyak permintaan daripada orang ramai untuk pulang ke kampung pada sambutan perayaan awal Februari ini.
“Penyedia perkhidmatan kawasan utara, selatan dan timur negara ini mendapat permintaan untuk pergerakan menggunakan bas ekspres,” katanya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (Pembawa), Mohamad Kaharrudin Salleh berkata, pihaknya tidak menolak orang ramai masih lagi berhati-hati untuk pulang menggunakan bas ekspres dalam keadaan norma baharu ini.
Katanya, perkara itu masih lagi terlalu awal untuk dijangkakan, namun pihaknya tetap bersedia memberi perkhidmatan kepada mereka yang mahu menggunakan bas ekspres untuk pulang berhari raya.
“Kami bersyukur boleh menjalankan perniagaan dan boleh berurusan dengan penumpang sekiranya mereka menggunakan perkhidmatan bas ekspres nanti,” katanya.- UTUSAN ONLINE











