Mendidik anak-anak memerlukan komitmen seluruh institusi masyarakat.Mereka ibarat kain putih dan ibu bapa serta masyarakatlah mewarnakan mereka.
Ibu bapa mempunyai peranan yang sangat besar dalam mendidik anak-anak.
Sebagai contoh, bapa memilih rumah dengan persekitaran yang baik untuk membesarkan anak-anak, jauh daripada kawasan yang tinggi kadar jenayah dan selamat dari anasir luar yang merosakkan anak-anak.
Ibu pula sebagai madrasah atau sekolah pertama anak-anak, berperanan penting memantau perkembangan sahsiah mereka.
Hari ini, walaupun ramai golongan wanita bekerja, tanggungjawab memantau perkembangan anak tidak boleh diabaikan. Cabaran alat peranti dan komunikasi media sosial harus dipantau oleh ibu bapa. Saluran yang tidak sesuai harus disekat daripada akses anak-anak.
Ketika kecil, mereka dibelai dan diberi kasih-sayang, dididik dengan cara kelembutan. Namun bila meningkat dewasa, ramai ibu bapa, mula lepas tangan dan berasa anak mereka boleh berdikari.
Padahal usia remajalah paling kritikal. Fitrah anak mudah memberontak, sikap ingin mencuba, mahu didengari dan mahukan kebebasan bukan seperti anak-anak kecil. Pada fasa inilah, pemilihan kawan sangat penting.
Pepatah Arab ada menyatakan, berkawan dengan peniaga minyak wangi maka kita akan berbau wangi dan berkawan dengan tukang besi, maka kita akan terkena percikan api.
Maka perhatikanlah dengan siapa anak kita berkawan. Lebih menyedihkan ramai ibu bapa membiarkan anak mereka keluar sesuka hati hingga lewat malam. Malah solat mereka juga diabaikan.
Jangan hairan, kenapa ramai anak yang khatam dan pandai solat pada usia muda, tetapi boleh berubah apabila meningkat dewasa. Oleh itu, jangan bangga dengan anak yang mempunyai pekerti mulia pada usia kecil, tetapi tidak mampu beristiqamah hingga dewasa malah boleh melakukan aktiviti di luar jangkaan. Malah ada ibu bapa yang tidak memberi contoh yang baik kepada anak-anak.
Si ayah tidak solat, si ibu pula tidak menutup aurat pastilah bukan teladan yang baik bagi si anak. Anak-anak menghadapi krisis ilmu kerana apa yang diajar di sekolah bertentangan dengan amalan di rumah.
Dalam masa yang sama, anak juga bukan hanya membesar di rumah, ia akan pergi sekolah dan membesar di kawasan tempat tinggalnya. Maka institusi sekolah dan institusi masyarakat seperti masjid, berperanan membentuk peribadi mereka.
Pihak sekolah dan guru mempunyai peranan penting bukan sahaja dalam memberikan pendidikan formal, malah memastikan persekitaran sekolah kondusif dan positif untuk perkembangan anak-anak.
Ramai guru berperanan bukan sahaja mendidik anak di dalam kelas, tetapi mengambil tanggungjawab mengenalpasti permasalah anak-anak di luar kelas; sama ada mereka datang dari golongan yang memerlukan bantuan, atau dari keluarga yang bermasalah.
Para guru perlu mengetahui profil anak murid kerana ini amat membantu para guru memahami karakter anak-anak. Dalam masa yang sama, usaha pihak sekolah memberi bantuan kaunseling, bantuan keperluan sekolah dan Rancangan Makanan Tambahan adalah amat baik bagi perkembangan pelajar.
Ada anak-anak yang tidak bernasib baik di rumah; ibu bapa bercerai, keluarga yang mempunyai masalah kewangan atau duduk bersama keluarga angkat yang tidak responsif terhadap keperluan anak-anak. Maka, di sekolahlah, anak-anak mencari peluang untuk mengembangkan potensi dengan baik.
Selain sekolah, institusi sosial seperti masjid juga amat penting dalam membentuk karekter dan syaksiah anak-anak.
Pihak masjid seharusnya mengalu-alukan anak-anak untuk berjemaah di masjid. Masjid dijadikan pusat pengajian anak-anak. Namun harus difahami, anak-anak yang belum dewasa, masih mempunyai keinginan untuk bermain.
Ada beberapa masjid yang mengambil inisitif membina kawasan permainan anak-anak. Ini dapat mendekatkan anak-anak ke masjid.
Jika pihak masjid dapat mewujudkan perkhidmatan kaunseling, ini adalah langkah yang amat membantu masyarakat terutamanya anak-anak muda yang bermasalah.
Masyarakat boleh mendidik anak-anak lebih-lebih lagi yang mempunyai rekod jenayah.
Saya juga percaya pihak masjid mengenali ahli kariah mereka. Biasanya pihak masjid akan memberi nasihat dan menyelidik latar-belakang pelaku.
Banyak masjid menyediakan inisiatif untuk membantu ahli kariah, sebagai contoh gerobok rezeki yang diletakkan barang makanan asasi, duit bantuan fakir miskin dan anak-anak yatim.
Namun ada sesetengah ahli masyarakat yang mengambil kesempatan mencuri tabung masjid bukan untuk keperluan asasi tetapi bagi tujuan yang tidak bermoral.
Nabi SAW sendiri mengajar umat Islam berlemah-lembut dalam berdakwah. Daripada Anas bin Malik, katanya, seorang Arab Badwi telah datang lalu dia kencing di satu penjuru masjid. Orang ramai menyergahnya lalu Rasulullah SAW melarang mereka berbuat demikian. Apabila dia selesai kencing, baginda menyuruh supaya dituangkan satu timba air di atas tempat itu. (Muttafaq ‘alayh).
Apa yang Rasulullah SAW ajarkan kepada kita, ialah bagaimana kita harus bersikap lemah lembut kepada mereka yang baru mengenali Islam seperti muallaf dan anak-anak muda. Ini kerana jika kita bersikap kasar dan keras, pastilah mereka akan lari dari Islam.
Namun, harus diingat walaupun Nabi sangat berlemah-lembut sama ada kepada golongan jahil, orang muda atau bukan Islam, ada masa Nabi SAW bersikap tegas.
Seperti tindakan Nabi SAW yang memulaukan para sahabat yang enggan keluar ke Peperangan Tabuk, dan bagaimana Nabi bersikap keras kepada golongan bukan Islam yang degil membuat kekerasan terhadap umat Islam. Ini bermakna, sekiranya golongan mad’u kita telah berkali-kali diberikan peringatan dan didikan, tetapi masih berdegil, maka tindakan yang sewajarnya boleh diambil. Begitulah juga dalam mendidik anak-anak muda ini.
Islam agama yang menyeru kebaikan dan dakwah itu bermula daripada institusi keluarga dan masyarakat. Pendekatan dakwah mempunyai beberapa peringkat dan perlulah dilakukan dengan penuh berhikmah. Islam itu adalah sejahtera dan dalam masa yang sama prinsip akidah dan moral haruslah dipelihara.
———
Penulis ialah Prof. Madya di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Merangkap Ahli JK Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.










