PETALING JAYA : DAP bakal meletakkan kombinasi calon-calon Melayu dan kaum lain yang mewakili semua lapisan masyarakat negara in dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, langkah itu merupakan asas perjuangan DAP yang terbuka kepada semua rakyat tanpa mengira kaum tertentu.
“Jika Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), DAP bertanding dan menang semua 14 kerusi ditandingi. Namun sehingga kini, jumlah sebenar belum dikenal pasti kerana masih dalam rundingan di dalam PH,” katanya.
Pada PRU-14, DAP mengetengahkan calon Melayu iaitu Sheikh Umar Ali dan beliau berjaya menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh.
Ketika ditanya jumlah sebenar muka baharu, Nie Ching menjelaskan, segalanya bergantung kepada keputusan akhir yang ditentukan kepimpinan DAP nanti.
“Ada muka baharu atau sebaliknya, itu kena tunggu sebab kita sedang muktamadkan senarai calon,” katanya. – UTUSAN ONLINE










