Guru jangan terlalu ‘ekstrem’ berpolitik - Utusan Malaysia

Guru jangan terlalu ‘ekstrem’ berpolitik

Guru diingat supaya tidak mengamalkan politik secara ekstrem. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan pendidik seperti guru dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) diingatkan tidak terlalu ‘ekstrem’ dalam berpolitik meskipun kegiatan tersebut sudah dibenarkan pada masa ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, guru-guru perlu sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mendidik anak, maka kebenaran tersebut hanyalah sebagai aktiviti sampingan mereka dan bukannya dijadikan sebagai aktiviti utama.

“Mereka kena patuh kepada peraturan-peraturan dalam perkhidmatan pendidikan supaya kegiatan berpolitik adalah aktiviti luaran mereka dan bukan dijadikan sebagai perkara utama,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan golongan pendidik seperti guru dan petugas Kemas dibenar bergiat aktif dalam politik sebagaimana rakyat lain, berkuat kuasa serta-merta.

Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, pihaknya menyambut baik pandangan dan cadangan kebenaran yang diberikan kepada golongan pendidik itu.

Katanya, ini kerana golongan guru sememangnya banyak terlibat meniupkan semangat kebangsaaan dalam kalangan rakyat kerana berada di lapangan terutama sebelum negara mencapai kemerdekaan dan selepas kemerdekaan itu.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr Raduan Che Ros berkata, pengetua dan guru besar juga perlu memainkan peranan dalam memantau dan mengawal guru meskipun berpolitik sudah dibenarkan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak melihat perkara itu menjadi masalah kerana ia bukan lah perkara baharu berikutan hak berpolitik adalah hak semua orang dalam mana-mana sistem demokrasi sesebuah negara.

“Namun, kita perlu menentukan supaya tempat kerja tidak dijadikan tempat berpolitik, jadi jika di luar sekolah, saya rasa tiada masalah asalkan tidak terbawa-bawa ke tempat kerja,” ujarnya.

Sementara itu, ahli majlis Akademi Profesor Malaysia, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Mohd. Nasir Daing Ibrahim berkata, kebenaran berpolitik itu sepatutnya datang dengan disiplin dan tidak boleh membawa idea politik dalam waktu bekerja khususnya dalam mendidik kanak-kanak.

“Guru besar juga diharapkan tidak mendiskriminasi guru-guru berpolitik yang lain meskipun berbeza fahaman politik,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×