BIARPUN graf seni penyanyi Elizabeth Tan sebagai pelakon masih hijau, satu sikap yang patut diberi merit adalah keterbukaan dan kesediaannya dalam menggalas watak dan perwatakan.
Bagi penyanyi yang popular menerusi lagu Semua Sudah dan Knock Knock itu, dia menyifatkan perkembangan kanvas pelakon tidak tertumpu pada satu-satu jenis watak sahaja.
Selepas puas membawa watak ringan atau baik, Lizzy atau Elizabeth Tan Su Mei, 28, sedari terjun ke bidang lakonan, dia sentiasa mencari watak dan perwatakan aksi, ganas, dan jahat.
Berkongsi mengenai perkembangan dan tawaran, Lizzy berpuas hati dan seronok apabila dapat menggalas watak jahat tetapi dalam konsep komedi.
“Ini kali pertama saya buat lagak ngeri dan berlawan walaupun sebagai seorang pontianak.
“Pada awalnya canggung juga saya sampaikan ada saat-saat terasa macam hilang tenaga.
“Tapi saya bersyukurlah sebab tiada sebarang kecederaan yang berlaku di sepanjang proses penggambaran berlangsung,” kongsi Lizzy yang berlakon menerusi drama bersiri Ex Aku Pontianak.
Begitu pun, Lizzy mengakui dia sentiasa mahukan lebih lagi.
“Siapa yang tidak mahu lebih bukan? Cuma genre naskhah ini lebih kepada komedi dan seram,” ujarnya ringkas.
Lizzy proaktif
Mengulas mengenai kebimbangan sebagai pelakon di pasaran melayu. Lizzy mengakui wujudnya perasaan tersebut. Tapi dia sahut cabaran itu dengan 10 langkah lebih awal.
Umum sedia maklum, bahasa pertuturan anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu bukannya berbahasa melayu. Jadi, sedikit sebanyak menjadi cabaran dari segi untuk berkomunikasi dengan intonasi yang fasih.
“Sejujurnya saya risau bukan pada watak tertentu sahaja, tapi semua watak juga. Yalah, Bahasa Melayu bukan bahasa pertama saya. Jadi intonasi akan kedengaran tidak begitu natural.
“Oleh yang demikian, saya akan cuba dapatkan skrip sebulan atau tiga bulan awal supaya dapat menelaah dan membaca sambil dengar macam mana intonasi saya buat beberapa kali,” jelasnya jujur.
Berkongsi mengenai karier muzik pula. Lizzy menjanjikan akan mengeluarkan tiga single terbaharu dan salah satunya berbahasa Inggeris.
“Perancangan tahun 2022 ini saya akan mengeluarkan tiga lagu dan ada yang sudah rakam.
“Harap semuanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan. Buat peminat setia yang sentiasa menyokong karier muzik saya terima kasih kerana sentiasa memberikan sokong tidak putus-putus dan setia menantikan produk seterusnya,” katanya.











