Doktor kontrak keliru kaitan tajaan - Utusan Malaysia

Doktor kontrak keliru kaitan tajaan

KERAJAAN juga sedang mengkaji pemanjangan elaun locum kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional di KKM selain Pegawai Perubatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan didakwa tidak menjelaskan kepada doktor-doktor kontrak sama ada biasiswa yang ditawarkan adalah Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) atau pun bentuk-bentuk tajaan lain yang memboleh­kan mereka meneruskan pengajian dalam peringkat kepakaran.

Kekaburan itu menyebabkan doktor-doktor kontrak salah faham jika HLP yang hanya diberikan kepada pegawai perubatan lantikan tetap Kementerian Kesihatan (KKM), adalah biasiswa sama bakal diperoleh doktor kontrak atau sebaliknya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad, 30, berkata, kerajaan sepatutnya terlebih dahulu menjelaskan kepada kumpulan terbabit bentuk tajaan sebenar bagi mengelakkan salah faham berpanjangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hal itu memandangkan, tiada penjelasan lanjut kerajaan mengakibatkan mereka terus beranggapan tawaran tersebut adalah HLP walhal hakikatnya, ia bukanlah se­perti yang dijangkakan.

“Awalnya, kami beranggapan ini adalah HLP jika merujuk kepada pekeliling yang dikeluarkan kementeri bertarikh 5 Januari 2022, tetapi sebenarnya bukan. Ia dikatakan penajaan, tetapi dalam bentuk apa dan proses permohonan pula bagaimana? Siapa pula penajanya?

“Saya mengakui, ini juga silap daripada kami yang tidak meneliti dan memahami sebenar-benarnya apa yang diumumkan kerajaan sebelum ini. Namun, mungkin ini tidak akan berlaku jika kerajaan menerangkan lebih lanjut kepada kami.

“Pun begitu, kami tetap menantikan keputusan dari pihak kerajaan berhubung perkara ini. Saya juga melihat Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menunjukkan perubahan positif, lebih ke hadapan untuk menyelesaikan masalah doktor kontrak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada 15 Januari lalu, doktor kontrak mendakwa mereka kini layak mendapatkan tajaan biasiswa HLP, yang membuka laluan mereka meneruskan pengajian dan menjadi pakar-pakar perubatan.

Doktor kontrak dalam pautan di Facebooknya melampirkan surat pekeliling Kementerian Kesihatan bertarikh 5 Januari 2022 daripada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai pelantikan secara kontrak perubatan, pergigian dan farmasi selepas khidmat wajib bagi kesinambungan perkhidmatan dan atau persediaan pengajian kepakaran.

Pekeliling itu antara lain menyatakan, doktor kontrak disediakan Program Latihan Kepakaran (PLK) kepada pegawai perubatan dan pergigian bagi tempoh empat tahun.

Bagaimanapun, semakan Utusan Malaysia mendapati, tiada klausa yang menyatakan mengenai HLP yang secara lazimnya, diberikan kepada doktor tetap untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana.

Terkini, menerusi pekeliling kementerian bertarikh 17 Januari 2022 dikongsikan kepada Utusan Malaysia, kerajaan mengumumkan tawaran cuti belajar bergaji penuh dengan/tanpa HLP bagi pegawai lantikan tetap dan PLK bagi pegawai lantikan kontrak.

Menerusi PLK dengan penajaan, doktor kontrak diberikan pilihan meneruskan pengajian sarjana pergigian, sarjana perubatan dan Parallel Pathway.

Perolehan HLP pula tidak mudah kerana mensyaratkan hanya doktor tetap yang berkhidmat dengan kerajaan sekurang-kurangnya tiga tahun layak menyambung pengajian kepakaran namun bergantung dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) 85 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×