Marah anak pun ada kaedahnya, jangan ikut emosi - Utusan Malaysia

Marah anak pun ada kaedahnya, jangan ikut emosi

Ibu bapa perlu ada sifat tenang dalam membesarkan anak-anak lebih-lebih lagi pada zaman teknologi maklumat menguasai dunia mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menjadi seorang ibu bapa bukan setakat melahirkan dan membesarkan anak sahaja. Ada banyak perkara yang kita perlu lihat dan terapkan pada anak kita dan salah satunya adalah mendidik anak.

Hakikatnya, ramai orang boleh membesarkan anak tapi tidak ramai boleh mendidik dengan penuh kasih sayang. Acap kali kita mendidik anak dengan cara memarahi, menengking dan memaki hamun, walaupun kesilapan itu hanyalah kecil sahaja.

Lebih teruk, kita sanggup memukul mereka.

Pakar Motivasi, Dr. Azuraida Shahadan berkata, ibu bapa perlu ada sifat tenang dalam membesarkan anak-anak lebih-lebih lagi pada zaman teknologi maklumat menguasai dunia mereka.
Katanya kita cenderung dikawal emosi.

“Ibu bapa perlu tahu mengawal emosi. Emosi yang perlu dielak ialah marah dan sedih. Jika kedua-dua berlaku, ibu bapa menjadi tidak tenang hingga menyebabkan mereka berada di luar kawalan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Dr. Azuraida, sekiranya ibu atau bapa sedang marah, ada beberapa langkah mereka perlu lakukan supaya tidak melempiaskan kemarahan kepada anak-anak.

“Contoh kes pertama, sekiranya ibu bapa sedang marah dan berada dalam rumah. Mereka perlu segera senyum, tarik nafas dalam-dalam dan berkata dalam hati, ‘sebenarnya inilah aku dahulu’. Tahan masa kira-kira dua minit.

“Sekiranya, ibu bapa marah dan ia berlaku di luar rumah, sebaiknya jangan dibawa balik marah itu ke rumah.

“Dalam situasi berbeza, balik rumah terus mandi dulu, jangan terus buat kerja rumah. Misalnya, berbincang dengan pasangan untuk jaga anak sekejap. Kemudian beristighfar,” ujarnya.
Tambah Dr. Azuraida, ibu bapa perlu mendidik hati dan emosi supaya tidak cepat marah dengan anak seperti yang Rasulullah SAW ajar, iaitu sabar itu datang semasa marah bukan selepas marah.

AMBIL GAMBAR ANAK

Gunakan pengukuhan diri seperti menampal gambar anak sewaktu kecil pada peti sejuk atau selalu sebut nama anak.

Pelbagai cara menegur anak boleh dilakukan, mengikut peringkat usia mereka.

Bagi anak 0 – 3 tahun tahun, mereka belum faham tentang perkara logik. Jadi, mereka tidak boleh ditegur secara logik. Tegur dengan cara mengajar bahawa belajar daripada tindakan.

“Bagi anak-anak berusia empat hingga 18 tahun, yang faham tentang fantasi, realiti dan logik, ibu bapa perlu memberi penjelasan dan teguran tentang tindakan mereka. Pun begitu, elakkan menegur dan memarahi di khalayak ramai,” jelasnya.

Dalam pada itu, kebanyakan ibu bapa sering mengadu bahawa anak-anak mereka tidak lebih mendengar nasihat orang lain berbanding ibu bapa sendiri.

Menurut Dr. Azuraida, situasi ini dipanggil persona dan ia ada kaitan dengan karakter anak.

Ini berikutan karakter anak selalu berubah-ubah sama seperti golongan dewasa.

Di bawah teori identiti sosial, ketika berseorangan atau bersama orang yang kita kenal, kita menjadi diri kita, namun saat bertemu orang lain, kita akan tukar persona dan karakter menjadi kolektif diri.

“Umumnya, manusia akan menjaga perlakuan, percakapan, tingkah laku ketika di hadapan orang terutama manusia yang kita tidak pernah jumpa atau jarang jumpa. Konsep ni kita panggil hawthorne effect, iaitu kita akan ada satu pemikiran, kita akan dilihat dan dinilai. Jadi kita perlu menjaga kelakuan.

“Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh marah atau herdik anak. Kalau hendak menegur, sebaiknya bawa mereka berbincang atau bersembang secara peribadi,” ujarnya.

Tips kawal marah:
*Ketahui punca

Ibu bapa perlu mengetahui punca perasaan marah. Kenapa mereka marah dengan anak-anak?

Cari penyelesaian
*Selepas mengetahui punca, cari jalan penyelesaian supaya dapat mengawal kemarahan.

Belajar ilmu keibubapaan
*Ilmu mendidik anak dan mengawal kemarahan, dapat membantu ibu bapa mengawal emosi.

Belajar kawal emosi
*Sebagai langkah mengawal emosi , kawal minda terlebih dulu. Emosi perlu dikawal sebab ia datang daripada minda separa sedar. Kita hanya akan sedar selepas kita marah. Justeru cari ketenangan diri, diam seketika dan relaks.

Kawal kata-kata
*Fokus pada nilai yang positif sahaja. Keadaan ini sedikit sebanyak melatih diri dan emosi ke arah lebih positif dalam apa jua situasi. Apabila minda positif, kita akan lebih berprasangka baik dengan orang di sekeliling. Ini merupakan cara terbaik untuk terus hidup positif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN