PRN Johor medan ujian tarik sokongan pengundi muda - Utusan Malaysia

PRN Johor medan ujian tarik sokongan pengundi muda

Dr. Mohd. Akbal Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya dilaksanakan dalam masa terdekat bakal menjadi medan ujian buat semua parti politik tanah air menilai trend pengundian golongan muda, khususnya selepas pelaksanaan Undi-18.

Penganalisis politik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Mohd. Akbal Abdullah berkata, ini kerana pengundi muda berusia 18 tahun ke atas adalah golongan yang cakna terhadap teknologi dan mempunyai akses terhadap maklumat secara dalam talian.

“Pelaksanaan Undi-18 pasti mengubah landskap politik bukan sahaja di negeri ini tetapi di seluruh negara kerana terdapat golongan pengundi baharu yang besar jumlahnya.

“Pengundi muda, khususnya penuntut universiti dan pemuda sentiasa mengambil tahu keadaan politik semasa kerana semua maklumat berkenaan boleh diakses melalui gajet mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Desas desus PRN Johor bermula selepas kerajaan negeri pimpinan Hasni dilihat tidak stabil kerana hanya memiliki majoriti satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu 28 berbanding 27 kerusi pembangkang.

Kedudukan itu berlaku selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar Johor meninggal dunia pada 21 Disember tahun lalu.

Sementara itu, Mohd. Akbal turut memberitahu, ekoran pelaksanaan Undi-18 yang menyaksikan pendaftaran bagi pengundian dilaksana secara automatik, parti politik tempatan perlu mengadaptasi situasi berkenaan.

“Jika parti politik ini berterusan menggunakan kaedah berkempen tradisional sedia ada, golongan pengundi muda akan berasa seolah-olah mereka dipinggirkan.

“Oleh itu, semua parti politik perlu mengetahui calon baharu yang mempunyai latar belakang bersesuaian dan profesional dalam usaha menarik sokongan baharu selain mengekalkan sokongan sedia ada.

“Jika benar PRN Johor diadakan, mana-mana pihak yang muncul juara akan memiliki kelebihan dan keyakinan tinggi dalam menuju PRU-15 akan datang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×