SEBUT saja nama Alicia Amin, mungkin sudah ramai yang mengenalinya. Maklum saja, kemunculannya dalam arena hiburan hangat dengan pelbagai kontroversi peribadi.
Namun dari segi persembahan karier sebagai seorang peragawati, berikan apa saja pakaian, Alicia pasti akan galas sebaik-baiknya. Hal itu sama dalam bidang lakonan yang baru diceburinya.
Semakin aktif pembabitannya di pentas lakonan, Alicia atau nama penuhnya Raja Alicia Raja Amin, 26, berkata, setakat hari ini dia berpuas hati dan seronok dalam menggalas tanggungjawab sebagai pelakon.
“Bagi saya sebagai seorang pelakon ini kena pandai tukar emosi untuk membawa watak-watak dan perwatakan berbeza.
“Jadi saya rasa, ada baiknya bermula sekarang saya praktis sebab hendak fokus dalam bidang lakonan pula selepas peragaan.
“Cuma harapan saya, bila saya berlakon itu tidak melebih-lebih dan karakter orang nampak perbezaannya. Tak mahulah selepas satu karya berlakon dan lakonan seterusnya lebih kurang sama, maka itu saya anggap tidak berjaya,” katanya.
Mengulas pertanyaan mengenai watak pilihan, Alicia mengakui bukan masa dan tempatnya untuk memilih watak dan perwatakan kerana masih baharu.
Malahan remaja tinggi lampai itu menganggap apa saja tawaran yang datang adalah rezeki dan salah satu cara untuk mengasah bakat lakonannya.
“Saya hendak cuba watak perempuan kampung, saya nak cuba kalau orang kata saya tak boleh bawa watak macam itu.
“Apa-apa watak sebenarnya, kalau watak itu memerlukan saya jadi seksi dan orang kurang upaya, menjadi tanggungjawab untuk hidupkan watak tersebut.
“Saya sanggup buat dan masuk kelas lakonan. Sebab kalau bakat itu kuat, bila sudah berusia pun masih diterima. Bukan masanya untuk saya memilih,” jelasnya.
Lakonan keras
Adat bagi pendatang baharu sama ada dikecam atau dikritik oleh penonton bukan? Paling tidak dikatakan lakonan nampak keras seperti kayu.
Mungkin terlalu awal untuk mengukur keupayaan Alicia, berikan masa ya.
“Lakonan saya kalau dikritik kayu itu pendapat mereka, saya lebih bimbang kalau persembahan saya tidak sampai.
“Rela dapat kritikan untuk perbaiki diri. Lebih kurang sama juga macam dalam bidang peragaan. Nak jadi profesional bukan? Kena ada input untuk maju,” ujarnya jujur.
Dalam perkembangan terbaharu, saksikan lakonan Alicia menerusi Gempak Original Series di saluran Astro 104 bermula setiap Rabu pukul 9.30 malam.
Berkongsi mengenai lakonan dalam drama tersebut. Alicia berkata, ia sedikit sebanyak ada persamaan.
Berkenaan dunia peragaan, Alicia memberitahu, dia masih terbuka untuk menerima sebarang tawaran.











