DAP mahu UMNO patuh gencatan politik - Utusan Malaysia

DAP mahu UMNO patuh gencatan politik

SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – UMNO diingatkan berpegang kembali kepada semangat gencatan politik menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik sekiranya bercadang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Ali berkata, buat masa ini kerajaan dan rakyat perlu bekerjasama dan menumpukan sepenuh usaha untuk memulihkan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Katanya, beliau turut hairan bagaimana Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menganggap melaksanakan PRN Johor sebagai satu tanggungjawab.

“Saya merasa cukup kecewa dengan kenyataan seorang tokoh politik Johor yang amat saya hormati yang jelas mahu memperjudikan nasib rakyat ketika suasana ekonomi dan keselamatan yang tidak menentu.

“Saya tertanya-tanya, bagaimana beliau boleh melihat dengan mengadakan PRN Johor ketika ini, sebagai satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataam semalam.

Beliau turut mempersoalkan di mana simpati Mohamed Khaled kepada rakyat yang sedang bergelut selepas bahana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang, kemudian disambung dengan bencana banjir.

“Saya sama sekali tidak memahami perspektifnya. Apakah beliau tidak memikirkan bagaimana kempen hendak dijalankan dalam suasana virus Omicron sedang mula merebak,” katanya.

Sheikh Umar berkata, Khaled sebelum ini mengungkapkan sokongan dan komitmen yang tinggi apabila Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bertemu dan bersetuju untuk bekerjasama rentas parti bagi meredakan ketegangan politik.

“Bagaimana kenyataan tersebut telah bertukar 360 darjah hingga beliau seolah-olah sudah tidak sabar-sabar lagi mahu mengadakan PRN Johor,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×