SC tak dapat muktamadkan siasatan Azam - Utusan Malaysia

SC tak dapat muktamadkan siasatan Azam

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tidak dapat memuktamadkan berlaku pelanggaran pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Menerusi satu kenyataan semalam, SC yang selesai menjalankan siasatan ke atas Ketua Pesuruhajaya SPRM itu menjelaskan, perkara itu berdasarkan pengumpulan bukti yang diserahkan kepada pihaknya.

“SC telah menyelesaikan siasatannya dan berdasarkan bukti yang dikumpul, SC tidak dapat membuat penemuan konklusif bahawa pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) SICDA telah berlaku.

Menurut SC, di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

Selain itu, Seksyen 25(4) SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan
SC membuat kenyataan tersebut bagi menjawab pertanyaan media mengenai hasil siasatan SC di bawah Seksyen 25(4) SICDA berhubung akaun dagangan Azam.

Pada satu sidang akhbar khas 5 Januari lalu, Azam memaklumkan akaun saham milik beliau digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki untuk membeli saham-saham di pasaran terbuka dengan pembiayaan adiknya sendiri.

Azam turut memaklumkan, beliau tidak mempunyai kepentingan ke atas saham-saham terbabit.
Selain itu, KP SPRM itu memberitahu, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pihak atasan ketika itu.

Sejurus penafian tersebut, SC selaku pengawal selia pasaran modal tempatan me­lancarkan siasatan dan me­minta Azam mengesahkan dan menjelaskan alasan tersebut.

Kemelut mengenai Azam semakin panas pada hujung tahun lalu apabila Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa mendakwa Azam adalah pemilik lebih empat juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu beliau menjawat jawatan Pengarah Siasatan SPRM antara 2015 dan 2016.

Susulan itu, ahli panel pemantau SPRM iaitu pakar ekonomi Edmund Terence Gomez, meletak jawatan selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan dan maklumat mengenai dakwaan pembabitan Azam dalam perniagaan secara langsung dan tidak langsung.

Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Tan Sri Borhan Dolah, bagaimanapun berkata, e-mel Gomez langsung tiada memperkatakan mengenai isu salah laku dikaitkan dengan Azam.

Kemuncak isu itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sepatutnya mengadakan bermesyuarat hari ini bagi membincangkan isu Azam namun ditangguhkan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×