Sudah dua tahun tak solat Jumaat

Sudah dua tahun tak solat Jumaat

SOLAT Jumaat masih wajib dilaksanakan meskipun 1 Syawal jatuh pada hari Jumaat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Gara-gara pandemik, hampir dua tahun lamanya kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah di seluruh negeri ini tidak dapat solat Jumaat kerana kekangan prosedur operasi standard (SOP).

Berdasarkan SOP diguna pakai di masjid-masjid di Kelantan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, biarpun sudah baligh tidak dibenarkan solat berjemaah di masjid, termasuk solat Jumaat.

SOP masjid juga ada kaitan dengan peraturan mewajibkan jemaah masjid perlu lengkap dua dos vaksin terlebih dahulu sedangkan ketika ini, semua kanak-kanak bawah 12 tahun belum divaksin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa masjid di negeri ini baru-baru ini mendapati kumpulan kanak-kanak terbabit tidak kelihatan langsung ketika umat Islam mengerjakan solat Jumaat.

Seorang bapa, Ismail Awang, 44, berkata, jika premis lain sudah memberi kelonggaran, sudah tiba masa SOP had umur untuk hadir solat berjemaah di masjid dibatalkan atau dipinda.

“Saya hampa dan terkilan apabila anak saya yang berusia 12 tahun, sudah cukup umur dan wajib solat Jumaat tidak dibenarkan masuk. Sampai bila peraturan ini hendak dikuat kuasa?

“Wajah anak saya yang memakai baju Melayu lengkap membawa sejadah sendiri hampa kerana terpaksa kembali ke dalam kereta dan menunggu saya selesai solat Jumaat,” katanya ketika ditemui di sebuah masjid di Pasir Puteh, baru-baru ini.

Seorang lagi bapa, Kamarudin Zainal, 40, berkata, hasratnya untuk mendedahkan anak-anak kepada kewajipan solat Jumaat dan kepentingan solat jemaah kepada mereka gagal, akibat larangan masuk masjid yang bertahun-tahun lamanya.

“Masjid kini sepi tanpa kanak-kanak. Malah, anak yang baligh awal juga terpaksa solat di rumah sahaja kerana keka­ngan SOP.

“Saya khuatir satu hari nanti kita bakal berdepan masalah kekurangan jemaah dalam ka­langan anak muda kerana prosedur masjid yang tidak mesra golongan itu,” katanya.

Kamarudin berkata, kajian semula perlu dibuat oleh pihak berkuasa agama agar ada ruang kepada ibu bapa untuk melatih anak-anak lelaki supaya mengimarahkan masjid, bukan menjauhinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×