PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia mesti dibentangkan kerajaan di Dewan Rakyat pada mesyuarat pertama Parlimen selama 16 hari bermula 28 Februari ini.
Ia sebagai memenuhi komitmen diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan membentangkan rang undang-undang itu pada tahun ini dengan penyediaan drafnya kini pada fasa akhir.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Lembah Pantai daripada PKR, Fahmi Fadzil berkata, desakan menubuhkan badan bebas itu wajar kerana Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, terpalit dengan isu pemilikan saham.
Menurut beliau, akta sedia ada seperti Akta SPRM 2009 tidak cukup untuk menjalankan fungsi dalam kes-kes berprofil tinggi sekali gus menuntut pelaksanaan undang-undang baharu melalui Ombudsman Malaysia.
“Kes melibatkan SPRM bukan setakat Azam, malah patut menyiasat pegawai-pegawai kerajaan, bekas ketua pesuruhjaya untuk mengetahui sejauh mana kerosakan telah dilakukan, sekarang yang dilaporkan media hanya tentang kes-kes kecurian dana, rompakan, dakwaan dan ugutan.
“Jadi, sekurang-kurangnya Ombudsman Malaysia boleh membantu untuk menyelesaikan perkara ini.
“Kita tidak boleh menaruh harapan kepada akta-akta yang sudah ada. Sebelum ini kita ada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), namun tidak mampu menambah baik dalam isu ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai rang undang-undang berkenaan dilihat tidak menjadi perbincangan awam, ketika negara digemparkan dengan pelbagai isu integriti terutama melibatkan SPRM-Azam.
Semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2018, kerajaan menukar status Biro Pengaduan Awam (BPA) kepada Ombudsman Malaysia sebagai usaha memastikan tindakan ke atas pengaduan berkaitan kementerian dengan lebih efektif.
Pertukaran status itu mendorong kepada penggubalan akta baharu dinamakan Akta Ombudsman Malaysia dan individu bertanggungjawab menggubalnya ketika itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Liew Vui Keong, yang meninggal dunia pada Oktober 2020.
Dalam pada itu, ditanya punca undang-undang tersebut tidak dilaksanakan semasa pentadbiran PH, Fahmi menyerahkan kepada Mahathir untuk menjawabnya.
“Kena tanya beliau. Ini kami sudah tegur (bangkitkan), banyak undang-undang mahu dilaksanakan tetapi di luar kawalan kami. Sebagai salah seorang ahli majlis PH dan wakil rakyat, memang banyak persoalan tetapi hanya beliau boleh menjawabnya sebab menteri undang-undang sudah mati,” katanya.- UTUSAN











