SEBAIK saja melihat poster drama bersiri Ex Aku Pontianak, perkara pertama yang bermain di fikiran saya ialah, satu lagi karya berulang. Nama pun cerita berkisarkan hantu, jadi mungkin ada yang akan mengilai dan kejutan bukan.
Walaupun terlalu awal untuk diukur keseluruhan jalan cerita. Tetapi ada perkara seperti jalan cerita dua episod tersebut membuatkan penonton ternanti-nanti apakah yang akan berlaku seterusnya.
Menarik minat saya lagi, naratif drama yang bakal bersiaran bermula setiap hari Rabu pukul 9.30 malam itu nanti, ia bukan semata-mata lakonan namun pelakon turut berinteraksi dengan penonton.
Saya suka bagaimana pengarah bijak bermain dengan angle bagi menghidupkan lagi watak pada babak-babak tertentu. Hal itu tidak kurangnya juga dengan antara teknikal lain seperti set penggambaran, pencahayaan dan bunyi, setakat dua tontonan, saya berpuas hati.
Karya yang akan disiarkan di saluran Astro Ria (104) itu, berkisarkan kehidupan seorang playboy bernama Malik lakonan Ikmal Amry yang diburu oleh bekas teman wanitanya, Bella lakonan Elizabeth Tan kerana bermain kayu tiga.
Malik terkejut apabila mengetahui Bella sebenarnya ialah pontianak dan dia mendapatkan bantuan Suraya lakonan Raysha Rizrose, seorang pemburu pontianak yang mempunyai misi lain yang tersendiri.
Ex Aku Pontianak terbitan syarikat produksi Red Comm ini, hasil ilham Anwar Hadi. Ia turut mendapat sentuhan Shamyl Othman selaku sutradara dan panel penulis skrip yang terdiri daripada Sharmaine Othman, Suzanne Ong dan Akmal Nahar.
Bakat baharu jadi taruhan
Selain Ikmal Amry, Elizabeth Tan dan Raysha Rizrose, Ex Aku Pontianak turut membariskan pelakon muda berbakat besar yang semakin menempa nama dalam dunia lakonan.
Antaranya Alicia Amin yang melakonkan wata Jay, Maya Hanum (Fifi), Fikhree Bakar (Zafran), Nabil Zakaria (Amran) dan Arwan (Joe).
Menerusi pengamatan saya, barisan pelakon baharu ini masing-masing berjaya keluar dari zon selesa. Mereka berjaya melakonkan watak diamanahkan sebaik-baiknya sebagai seorang pelakon baharu.
Berpeluang bertemu dengan teraju utama, Ikmal Amry, kongsinya watak tersebut satu pembaharuan sepanjang karier sebagai pelakon.
Sementara itu lakonan Raysha turut membanggakan.
Dia yang sebelum ini kerap membawakan watak berat dan sopan, kali ini, Raysha berjaya menghidupkan watak yang digalas.
Pendek kata, kita sedang menonton watak tersebut berbanding dirinya.
Realitinya, kalau diamati, kebanyakan bakat muda tidak mempunyai jumlah pengikut yang berjuta.
Hal itu sebenarnya menarik perhatian, yang mana produksi tersebut tidak mengutamakan pengaruh media sosial demi melayarkan sebuah karya.
Selamat menonton!











