Kerugian akibat banjir cecah RM6.5 bilion - Utusan Malaysia

Kerugian akibat banjir cecah RM6.5 bilion

Kerugian harta benda akibat banjir di 50 daerah seluruh negara Disember tahun lalu dianggar mencecah RM6.5 bilion.-UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Bencana banjir yang menjejaskan 50 daerah baru-baru ini mengakibatkan negara kerugian dianggarkan mencecah RM6.5 bilion.

Anggaraan itu berdasarkan dapatan awal kajian menyeluruh impak banjir yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan.

Jumlah kerugian itu adalah enam kali ganda lebih tinggi dari kos membina Terowong Smart pada 2017 dengan kos melebihi RM1 bilion. Ia bagi menyelesaikan masalah banjir kilat di ibu negara selain kesesakan trafik di sepanjang Jalan Sungai Besi dan jejambat Loke Yew di Pudu pada waktu sesak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerugian tersebut meliputi tempat kediaman yang dianggarkan sehingga RM1.4 bilion dan  premis perniagaan antara RM500 juta hingga RM600 juta.

“Anggaran kerugian bagi kenderaan antara RM1 bilion hingga RM1.3 bilion, pertanian RM40.9 juta hingga RM49.9 juta, pembuatan RM800 juta hingga RM1 bilion serta set awam dan infrastruktur dianggarkan sebanyak RM2 bilion.

“Anggaran kerugian keseluruhan ini melibatkan 50 daerah yang terjejas banjir dan ia akan dimurnikan (diperhalusi),” katanya kepada pemberita dalam Majlis Pelancaran Pelaksanaan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dak Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 di sini, semalam.

Beliau berkata, kajian impak banjir itu penting bagi membuat anggaran sekali gus menyelaras dan menyesuaikan bantuan-bantuan kepada mangsa terjejas akibat bencana tersebut.

Mengenai perancangan susulan kajian tersebut, Mustapa berkata, kerja-kerja pembaikan dan bantuan-bantuan kepada mangsa dimulakan antaranya kediaman penduduk yang rosak dan kehilangan sepenuhnya (total lost).

“Selain itu, pinjaman tanpa faedah bagi perniagaan termasuk bantuan-bantuan lain antaranya RM1,000 kepada setiap keluarga, RM2,500 untuk perabot dan RM500 barangan elektrik,” katanya.

Berhubung HIES/BA 2022, beliau berkata, ia mula dijalankan serentak bersama Survei Perbelanjaan Isi Rumah bermula pada 2014/15 dan diadakan dua kali setiap lima tahun dengan tahun ini adalah yang ke-20 dijalankan bermula Januari hingga Disember 2022.

Sementara itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, survei itu dilaksanakan secara temu ramah bersemuka dan akan melibatkan kira-kira 93,000 isi rumah terpilih meliputi lebih 500,000 orang penduduk di seluruh negara.

Katanya, di samping kaedah temu ramah bersemuka, responden terpilih boleh juga membuat pengisian borang soal selidik secara self-response melalui dalam talian.

“Survei ini akan memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya pihak kerajaan dalam menganalisis agihan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah mengikut domain yang lebih terperinci.

“Dapatan survei HIES/BA 2022 ini akan menjadi tanda aras baharu bagi kerajaan menggubal polisi dan dasar yang berkaitan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, ia juga merupakan salah satu input yang akan digunakan oleh kerajaan untuk menilai pencapaian Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs) yang menekankan pembangunan negara secara mampan.

Katanya, ia seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×