KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan akan bertemu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, pertemuan itu berkait rapat dengan keputusan mesyuarat biro politik UMNO malam tadi yang mempertimbangkan parti itu akan menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN) sekali gus memberi syarat baharu kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik.
“Punca UMNO mengambil keputusan ini adalah kerana pimpinan ini banyak terlepas pandang isu-isu berat dan lebih penting.
“Salah satu perkara yang termasuk sebagai punca perpecahan itu adalah Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, atau RUU355 diabaikan dan UMNO ingin menghentikan politik jijik beli-membeli dan mengajak Ahli Parlimen lompat parti,” katanya.
Bukan itu sahaja, kata sumber itu lagi, UMNO juga ingin terus memperjuangkan hak rakyat terutama dalam keadaan negara yang dilanda pandemik pada ketika ini.
“Hal-hal ekonomi tidak diketengahkan, kerajaan sekarang tidak mengutamakan skim jaminan pekerjaan dan tidak melaksana moratorium bersasar dengan lebih efektif kepada rakyat yang memerlukan,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE










