KUANTAN: Semua pihak terutama pimpinan parti-parti politik di negara ini perlu menghormati perkenan dan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta institusi diraja dalam menentukan hala tuju politik dan pentadbiran negara.
Pensyarah Kanan Undang-Undang Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, ia adalah berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Raja Berperlembagaan.
“Negara kita sekali lagi diuji dengan kematangan politik yang mana peranan institusi diraja dan Yang di-Pertuan Agong merupakan institusi yang utama serta penting dalam memilih badan eksekutif mengikut lunas Perlembagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Al-Sultan Abdullah yang berkenan menerima menghadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bertitah menasihati beliau supaya akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, dalam sesi selama lebih kurang 25 minit itu, Anwar hanya mengemukakan jumlah ahli Parlimen yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.
Mengulas lanjut, Wan Emril Nizam berkata, Al-Sultan Abdullah telah pun memberi ruang dan peluang kepada Anwar untuk mengemukakan nama-nama ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya.
Namun katanya, Ketua Pembangkang itu tidak berbuat demikian sekali gus gagal mengukuhkan dakwaannya sebelum ini.
“Anwar perlu akur dan terima hakikat bahawa keputusan yang diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah melalui proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan negara,” katanya. – UTUSAN











