PENULARAN Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2000 mengubah budaya dan cara hidup penduduk seluruh dunia.
Pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal sudah menjadi norma baharu. Turut berubah majlis pertunangan, perkahwinan, persandingan dan jamuan serta cara diuruskan.
Kita sudah biasa mendengar majlis perkahwinan yang terpaksa ditangguh pada saat akhir akibat penularan Covid-19 dan situasi semasa yang tidak mengizinkan.
Saya berbual dengan beberapa kenalan tentang kesan baik dan kesan kurang baik susulan norma baharu pengurusan majlis perkahwinan di kala pandemik.
Bagi M. Jayakumary dari Jitra, Kedah, situasi semasa sebenarnya memberi kesan positif kepada cara majlis pertunangan dan perkahwinan dikendalikan.
“Rata-rata masyarakat India membelanjakan wang yang cukup banyak, iaitu antara RM6,000 hingga RM8,000 bagi pertunangan dan berpuluh ribu ringgit lagi untuk upacara perkahwinan.
“Dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sekarang, perbelanjaan dapat dikurangkan sehingga 70 peratus,” kata pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman ini.
Jayakumary menambah, berdasarkan pengalaman saudara-maranya sendiri, lebihan wang berkenaan digunakan untuk menampung perbelanjaan lain yang lebih bermanfaat.
M.S. Parimala Devi, seorang guru dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang turut berkongsi pandangan. Adiknya berkahwin pada awal tahun lalu dan memang banyak kos dapat dikurangkan. Lebihan wang itu pula digunakan untuk membayar hutang pinjaman perumahan.
“Bagaimanapun, bagi golongan tua seperti ibu bapa saya, mereka berasa sedih kerana tidak dapat mengadakan majlis secara besar-besaran dengan menjemput ramai saudara-mara. Hal ini memandangkan adik saya merupakan anak bongsu,” tambahnya.
Situasi Covid-19 dan SOP ketat mengubah budaya majlis perkahwinan menjadi sesuatu yang ‘mudah dan mesra poket.’
Demikian kesimpulan Noraini Abd. Rahman dari Alor Setar, Kedah, susulan majlis pernikahan adiknya di Masjid Al-Hana, Langkawi pada 21 Ogos 2021.
“Sangat ringkas dan menjimatkan. Majlis pernikahan dihadiri lapan orang daripada kedua-dua belah pihak. Kos tiket feri serta kuota jemputan dihadkan selaras SOP.
“Makanan pula dimasak sendiri oleh pengantin dan diedarkan kepada keluarga, rakan dan jiran terdekat,” penolong pustakawan itu berkongsi pengalaman.
Turut terlibat dalam perbincangan topik ini ialah S. Kumaresan dari Cameron Highlands, Pahang.
“Dari sisi positif, memanglah norma baharu ini menjimatkan wang ringgit.
Dari sisi negatif pula, kerugian besar turut berlaku apabila wang muka (deposit) untuk tujuan majlis perkahwinan seperti tempahan dewan, makanan dan sebagainya tidak dipulangkan.
“Lebih memilukan apabila kad undangan sudah diedarkan tiga hari sebelum SOP terkini diumum kerajaan. Semua duit hangus begitu sahaja,” pemuda ini meluahkan pengalaman.
KITA JAGA KITA
C. Anuradha dari Banting, Selangor pula bernada positif dalam hal ini. Pada pandangannya, berkahwin semasa pandemik sebenarnya mengurangkan beban kewangan. Bilangan jemputan ke majlis perkahwinan anak buahnya dihadkan.
“Mereka yang berkahwin tidak perlu berbelanja besar seperti dahulu. Apa yang penting adalah restu ibu bapa serta upacara perkahwinan berlangsung mengikut tradisi dan aturan agama dengan kehadiran keluarga terdekat,” kata guru itu.
Penolong kurator di Galeri Shah Alam, Iszuan Ismail pula berkongsi pandangan berdasarkan pengalaman majlis perkahwinan adik iparnya pada September 2021.
“Upacara, majlis, keramaian, persidangan dan seumpamanya memang menerima kesan. Kita sentiasa diperhatikan dan perlu peka demi kesihatan diri dan keluarga.
“Demi semangat ‘kita jaga kita’, maka orang ramai yang menghadiri sebarang majlis perlu sentiasa beringat dan patuh SOP.
“Saya perhatikan, memang ada orang tua dan kanak-kanak merungut dan mengeluh kerana pergerakan terbatas.
“Namun, inilah kelaziman baharu yang perlu kita jadikan amalan demi kesejahteraan dan keselamatan,” kata Iszuan dari Ampang, Selangor.
Noraziana Aziz dari Rawang, Selangor bernikah di Kamunting, Perak pada Jun 2021, iaitu semasa kawasan itu berada dalam zon merah.
“Saya paling suka cara pejabat agama menguruskan akad nikah secara dalam talian dengan memanfaatkan teknologi tanpa kompromi terhadap hukum agama.
“Akad nikah di pejabat agama juga bagus kerana lebih ringkas dan mudah. Terbaik dari sudut ekonomi dan menjimatkan kos.
“Orang lain tidak sempat curi dengar berapa harga mahar, hantaran dan barangan kemas yang diberi,” katanya dengan ceria.
Namun, menurut guru ini, dari sudut silaturahim dan keharmonian memang ada kesan kurang baik. Malah, mungkin saudara-mara kecil hati kerana tiada majlis besar-besaran selepas PKP.
Sepatutnya mereka faham situasi keluarga dan pasangan pengantin. Mungkin sahaja pengantin ada masalah kewangan atau kehilangan kerja atau pelbagai kekangan lain. Noraziana turut berkongsi pengalaman bernikah di Pejabat Agama Islam Daerah Taiping.
“Kami bawa sendiri dulang mas kahwin kerana tidak dibenarkan membawa sesiapa bersama. Kebenaran wali iaitu ayah saya dilakukan melalui panggilan video.
“Selepas selesai semuanya, kami ke rumah ibu di Kamunting. Kami masuk dalam keadaan senyap tanpa sebarang sambutan yang lazim bagi pengantin baharu,” dia mengimbas kembali pengalaman itu.
Lebih menyeronokkan dan istimewa apabila dia dan suami bergambar di lorong depan rumah sahaja dengan bantuan anak saudara.
“Jiran tetangga mengintai dari tingkap. Ada yang melaungkan ucapan tahniah sambil melambai.
“Terus-terang, bagi seorang individu yang kurang bercakap seperti saya, akad nikah semasa pandemik amat melegakan.
“Misalnya, saya tidak perlu berjalan dari meja ke meja untuk berbual dengan tetamu pada majlis persandingan,” Noraziana mengakui.
Perkongsian ini mungkin sama dengan pengalaman orang ramai yang masih belajar untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu sejak Covid-19 menggegarkan dunia.
Apa-apa pun, SOP dan arahan semasa perlu sentiasa dipatuhi demi kesejahteraan semua.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










