HAKIKATNYA ketika ini, rakyat sedang berhadapan sekurang-kurangnya tiga krisis utama, iaitu kesihatan, ekonomi dan bencana alam yang memberi kesan langsung kepada seluruh aspek kehidupan seharian.
Umpama sudah jatuh ditimpa tangga, dugaan demi dugaan yang berlaku mencengkam kehidupan semua lapisan masyarakat.
Ternyata selepas hampir dua tahun, kita masih bergelut dengan ancaman wabak Covid-19 yang kelihatan terus muncul dengan varian baharu seperti Delta, Omicron dan terkini IHU yang dikenal pasti oleh saintis di Perancis dilaporkan mempunyai 46 mutasi.
Fenomena krisis kesihatan global ini memberikan ancaman cukup besar kepada keselamatan nyawa penduduk dunia. Bilangan kematian serta individu dijangkiti terus meningkat dan belum menampakkan tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat.
Malah, ancaman Omicron menyebabkan semakin banyak negara sudah mula melaksanakan kembali beberapa sekatan baharu demi mengawal penularan dan melindungi nyawa rakyat masing-masing.
Arab Saudi misalnya, melaksanakan semula peraturan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di semua kawasan tertutup dan terbuka sebagai langkah baharu membendung varian Omicron serta lonjakan kes harian Covid-19 di negara itu.
Omicron juga dilaporkan sudah menjadi varian dominan di Switzerland apabila kira-kira 55 peratus daripada kes di negara tersebut disebabkan olehnya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri sudah mengeluarkan amaran bahawa varian ini mengundang risiko paling tinggi dan berupaya mencetuskan tsunami pandemik sekali gus meruntuhkan sistem penjagaan kesihatan kerana ia lebih menular.
Negara kita juga terpaksa menangguhkan kebenaran perjalanan mengerjakan umrah bagi tempoh sebulan bermula 8 Januari lalu. Kementerian Kesihatan juga akan mengenakan kuarantin wajib bagi jemaah umrah yang baru pulang dari Arab Saudi.
Kabinet membuat keputusan ini setelah meneliti data 85 peratus daripada 1,842 kes positif Covid-19 yang dilaporkan adalah individu yang kembali dari Arab Saudi.
Jelas sekali, kita belum pulih sepenuhnya daripada ancaman pandemik, namun kehidupan perlu diteruskan.
Ironinya, sampai bila kita mahu hidup dalam ketakutan ataupun terlalu bebas sehingga mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang akan membuka ruang untuk dilaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?
Justeru, rakyat perlu bangkit segera daripada krisis kesihatan ini dan kembali menjalani aktiviti harian seperti biasa demi kelangsungan hidup.
Ia boleh dibuat dengan syarat kita berganding bahu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk sentiasa mematuhi SOP sekali gus memutuskan rantaian penularan virus.
Krisis kesihatan ini juga memberikan impak langsung kepada ekonomi rakyat dan negara. Jujurnya, ramai yang belum mampu untuk meneruskan survival kehidupan apabila hilang pekerjaan atau punca pendapatan secara total dengan mengejut.
Majikan terpaksa memberhentikan pekerja dan individu yang bekerja sendiri atau berniaga pula tidak dapat meneruskan aktiviti disebabkan PKP dan larangan rentas negeri yang terlalu lama.
BANJIR
Walaupun pelaksanaan PKP dan larangan rentas negeri sudah ditamatkan, namun proses pemulihan ekonomi dan kehidupan rakyat kelihatan memakan masa lebih lama dari dijangka.
Hal ini kerana kita masih berhadapan dengan ancaman wabak, manakala kadar pertumbuhan ekonomi negara masih terlalu perlahan.
Ini menyebabkan masih ramai bergelut untuk mendapatkan peluang pekerjaan bagi menampung keperluan seisi keluarga.
Bayangkan, tatkala sumber pendapatan keluarga belum stabil dan sangat terhad, kos sara hidup harian pula terus meningkat termasuk yang disumbangkan oleh kenaikan harga pelbagai barangan keperluan asas.
Ini ditambah keperluan perbelanjaan persekolahan anak-anak serta keperluan untuk membayar balik pelbagai pinjaman setelah kemudahan moratorium tamat.
Walaupun kerajaan menyediakan pelbagai bantuan termasuk kemudahan wang tunai melalui Bantuan Keluarga Malaysia, namun secara jujurnya ia masih belum mencukupi untuk menampung keperluan semua golongan yang terjejas dan terkesan.
Dalam konteks ini, kita juga perlu memahami kekangan kewangan dihadapi kerajaan disebabkan masalah ekonomi global.
Justeru, rakyat perlu bangkit berdikari untuk membina semula ekonomi diri dan keluarga masing-masing.
Di samping terus mengharapkan inisiatif kerajaan untuk merancakkan semula semua sektor ekonomi, kita sendiri perlu bijak memanfaat apa jua ruang yang ada termasuk dengan cara meneroka dan mencipta peluang pekerjaan baharu demi kemajuan ekonomi diri dan keluarga.
Belum sempat keluar dari krisis kesihatan dan ekonomi, kita diduga pula dengan banjir besar melanda beberapa negeri termasuk yang di luar jangka seperti Lembah Klang, tempoh hari.
Akibatnya, kehidupan mangsa banjir ini terus dirundung malang apabila hampir keseluruhan rumah tenggelam menyebabkan kerosakan harta benda yang cukup dahsyat, malah lebih daripada 50 kematian direkodkan sehingga kini.
Mujur kesungguhan dan komitmen kerajaan yang segera menyalurkan bantuan sedikit sebanyak melegakan semua mangsa terlibat. Kerajaan dilaporkan sudah menyalurkan lebih RM39 juta bagi Bantuan Wang Ihsan untuk diagihkan kepada mangsa yang terjejas banjir di seluruh negara.
Apa pun, secara jujurnya kerosakan yang dicetuskan oleh banjir mewujudkan kelompok miskin bencana alam yang terus bergelut bagi meneruskan kehidupan kerana akan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya terutama dari aspek ekonomi, kewangan dan psikologi.
Namun, kita tidak boleh terus meratapi apa yang telah berlaku sebaliknya perlu membina kekuatan emosi dan fizikal untuk bangkit daripada impak bencana alam ini.
Tuntasnya, walaupun semua krisis yang sedang berlaku ini mencetuskan pelbagai cabaran dan dugaan dalam kehidupan, namun ia perlu diharungi dengan cekal dan tabah tanpa berputus asa.
Ayuh, marilah kita bangkit daripada krisis dan membina kehidupan baharu buat seluruh Keluarga Malaysia berpaksikan semangat juang yang tinggi, berjiwa kental dan berdaya tahan.
PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.











