Mahu penjelasan, bukan alasan - Utusan Malaysia

Mahu penjelasan, bukan alasan

MENTERI Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (depan) melihat lokasi Projek Membina Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai Pakej 2B di Ketereh, Kelantan pada Oktober lalu. – UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKEMBANGAN teknologi maklumat menuntut proses komunikasi berkesan. Jika tidak, kehidupan kian terdedah kepada elemen negatif seperti berprasangka buruk dan membenci sehingga mendorong kepada membuat keputusan tidak tepat dalam hidup.

Ini kerana selain membekalkan maklumat sahih, tepat dan berguna, teknologi ini sering diekori bahan belum pasti, yang sengaja diselitkan pihak tertentu sehingga boleh membakar emosi untuk mencari keuntungan politik atau komersial sehingga adakala boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Konteks ‘proses komunikasi berkesan’ yang ingin diperkatakan ini lebih menjurus kepada kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Sering dilihat suasana di mana rakyat amat mengharapkan jawapan atau penjelasan tepat terhadap sesuatu isu bagi menempatkan pemikiran mereka tidak dalam keadaan ragu atau bimbang.

Misalnya, dalam isu vaksinasi pandemik Covid-19. Masyarakat tidak boleh dipersalahkan jika mereka keliru, mana satu jenama vaksin yang boleh diyakini apabila banyak sumber terpacul di dalam media sosial (lengkap dengan nama dan latar belakang profesional dari dalam atau luar negara) yang selalunya membawa cerita negatif terhadap jenama vaksin tertentu.

Tidak kurang juga, masih ramai yang tertanya-tanya tentang sejauh mana berkesannya dos penggalak (booster). Ini kerana ada video yang memaparkan pelbagai kesan negatif jika mengambil dos ketiga itu.

Apa yang sering dipersoalkan seolah-olah tiada penjelasan meyakinkan daripada pihak berkenaan bagi menjawab segala keraguan masyarakat. Membisu tidak menyelesaikan masalah atau kemusykilan.

Kehidupan akan lebih selesa dan harmoni jika sebarang persoalan atau keraguan berbangkit dalam kehidupan harian dapat diberi penjelasan dengan sebaik-baiknya oleh pihak berkenaan.

Ini termasuk hal-hal yang berkaitan dengan tadbir urus kerajaan seperti maklumat dasar dan pembangunan negara, kedudukan kes perundangan dan tingkah laku penjawat awam.

Kurang keberkesanan proses komunikasi turut mempengaruhi suasana di mana rakyat hanya tahu mencari yang tiada, tetapi kurang sedar tentang kemudahan mereka sudah siap tersedia atau sudah mula dibangunkan.

Contohnya, masyarakat masih bersuara mengharapkan dibina sebuah lebuh raya bagi menghubungkan bandar Kota Bharu ke Kuala Krai di Kelantan, sedangkan projek itu sudah terlaksana pada suatu jarak tertentu dan akan diteruskan pelaksanaannya.

LENYAP

Rugi jika kemudahan sistem komunikasi sedia ada tidak dimanfaat sebaiknya untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat umum.

Ini termasuk media elektronik dan media sosial rasmi kerajaan. Sedia maklum, di setiap kementerian dan agensi terdapat unit komunikasi korporat masing-masing.

Semua pihak perlu mengambil inisiatif lebih serius bagi menyampaikan maklumat penting kepada rakyat, selain memberi penjelasan terhadap sesuatu dakwaan tidak tepat yang muncul.

Tindakan bukan sekadar mengeluarkan penjelasan menerusi mana-mana saluran media tetapi perlu menentukan sebaran maklumat itu benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.

Proses komunikasi berkesan boleh membantu menstabilkan negara. Apabila rakyat dibekalkan dengan maklumat tepat, tidak timbul lagi sebarang rungutan dan tohmahan buruk terhadap kerajaan.

Silap jika ada yang menganggap sesuatu isu itu akan lenyap dengan sendiri tanpa penjelasan. Suasana kehidupan masa kini sudah jauh berubah. Masyarakat mahu penjelasan, bukan alasan. Mereka juga boleh mengukur dengan mudah cara penjelasan terhadap isu itu sama ada berbentuk retorik atau realiti.

Tentu ramai yang masih ingat, seorang Perdana Menteri sebelum ini (sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14) menyarankan agar menteri-menteri Kabinet di bawahnya menangani sesuatu isu berkaitan kementerian masing-masing hanya dalam tempoh masa tidak melebihi 10 hari.

Perdana Menteri itu seolah-olah memberi amaran, beliau akan bertindak menyelesaikannya sendiri jika menteri berkenaan dilihat ‘tidak berupaya’ menanganinya.

Mesej daripada cerita ini menggambarkan perlunya seseorang menteri Kabinet itu mengambil tanggungjawab berat dalam menyelesaikan apa-apa isu berbangkit khususnya di bawah kapasiti masing-masing.

Pendek kata, proses komunikasi berkesan perlu ada dalam pelbagai sudut kehidupan. Ini termasuk dalam hal-hal bersabit hukum-hakam agama.

Membiarkan sesuatu isu yang menjadi perdebatan atau kesangsian umum tidak membantu memperjelaskan duduk perkara sebenar dalam aspek ibadah dan peraturan agama.

Justeru, para cendekiawan atau pakar dalam bidang-bidang tertentu seperti keagamaan, perundangan, politik dan apa sahaja bidang perlu bangkit bersama ‘memperbetulkan’ sesuatu yang dianggap perlu bagi membantu mengharmonikan kehidupan sejagat.

Berusahalah melengkapkan kehidupan harian dengan maklumat. Hidup bermaklumat sukar sesat dalam membuat penentuan. Hidup tanpa maklumat pula bukan alasan untuk mengelak daripada menghadapi sebarang kesukaran.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×