Ramai ibu bapa tidak menyedari bahawa berinteraksi dengan alam dan haiwan sememangnya cukup memberi kesan kepada perkembangan minda kanak-kanak.
Imun mereka juga bertambah kuat apabila kita dedahkan mereka dengan persekitaran alam itu.
Presiden Kelab Ekuin Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarah Hilmee, pendedahan dengan haiwan seperti kuda membuatkan daya berfikir anak menjadi lebih baik dan positif.
Katanya, tanpa kita ketahui, pendedahan dan mendekati haiwan seperti kuda sebenarnya amat besar manfaatnya terutama kepada anak-anak yang lambat perkembangannya termasuk anak-anak istimewa seperti autisme, Sindrom Down dan sebagainya.
“Malah dalam kalangan anak autisme mendekati kuda, membantu mereka menjadi lebih tenang dan memiliki perkembangannya,” katanya.
Tambah Sarah, berbanding haiwan lain, kuda juga begitu mesra dengan kanak-kanak.
Sebuah kajian mendapati terapi melalui kuda turut membantu anak-anak istimewa berdikari daripada segi kemahiran hidup menerusi cara yang sangat menyeronokkan.
“Kaedah dan terapi yang menyeronokkan berupaya merangsang dan mempercepatkan perkembangan mereka yang selalunya lebih mencabar berbanding kanak-kanak lain.
“Secara tidak langsung apabila berinteraksi dan menunggang kuda, ia turut menggunakan kaedah hippoterapi yang boleh membantu fokus, tumbesaran dan perkembangan emosi kanak-kanak,” ujarnya.
KAEDAH HIPPOTERAPI
Jelasnya, hippoterapi ini bukan pengganti terapi konvensional tetapi ia sebagai pelengkap untuk rawatan kanak-kanak istimewa kerana ia mempercepatkan rawatan dan perkembangan neurologi golongan ini.
“Kanak-kanak istimewa seperti autisme mempunyai cabaran untuk memproses input deria. Aktiviti mudah seperti makan, bercakap dan menyentuh adalah sangat mencabar. Melalui terapi hippoterapi, kanak-kanak ini diajar untuk re-teach bagaimana otak menerima dan memproses input.
“Pada masa yang sama seperti dalam pembelajaran matematik atau mengait, aktiviti repitasi akan membantu untuk proses re-teach ini.
“Melalui haiwan berkuda, kanak-kanak dapat memberi tumpuan lebih lama kerana mereka dapat berinteraksi dengan kuda secara dekat.
“Secara tidak langsung, objektif repitasi dipenuhi kerana kanak-kanak berada dalam fokus lebih lama. Inilah sebabnya mengapa hippoterapi telah terbukti menghasilkan keputusan yang lebih cepat dalam masa yang lebih singkat,” ujarnya.
Sarah berkata, Kelab Ekuin UKM, berperanan menyediakan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar UKM dalam membantu pelajar istimewa sewaktu sesi terapi bersama anak-anak autisme.










