PETALING JAYA: Rakuten Trade Sdn. Bhd. (Rakuten Trade) mengumumkan bahawa Akaun Perdagangan Tunai Terdahulu akan dinaik taraf untuk menyediakan kemudahan bagi urus niaga asing, bermula dengan pasaran Amerika Syarikat
(AS).
Menurut syarikat itu, keputusan tersebut diambil berasaskan permintaan yang diterima sejak mula Rakuten
Trade melancarkan perniagaannya pada 2017.
Jelasnya, sebagai salah satu bisnes terawal yang menakluk pasaran, Rakuten Trade terus bergerak dengan lebih tangkas bagi tahun operasinya yang keempat untuk meningkatkan inovasi dan menaik taraf industri
pembrokeran di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Rakuten Trade, Kazumasa Mise berkata, perkhidmatan perdagangan saham AS syarikat menekankan nilai yang ditawarkan oleh Rakuten Trade dan menambah lebih banyak manfaat menerusi kecekapan digital yang disediakan.
“Dengan menaik taraf perkhidmatan yang ditawarkan, para pelanggan kami kini boleh menjual beli saham seperti Apple dan Tesla, dan juga Dana Dagangan Bursa (ETF) yang tersenarai di Bursa Saham New York
dan Nasdaq, termasuk juga lebih daripada 1,000 saham di Bursa Malaysia.
“Kedua-dua saham tempatan dan asing akan ditawarkan menerusi paparan utama tunggal, pada kos broker rendah yang sama bagi menawarkan pengalaman perdagangan digital sepenuhnya yang lebih menyenangkan kepada para pelanggan,” katanya dalam sidang media secara maya.
Direka khas untuk individu celik digital yang berminat untuk menjalankan urus niaga jual beli saham sendiri, akaun Tunai Terdahulu Rakuten Trade menawarkan manfaat berikut kepada pelabur individu yang ingin menjual beli saham di pasaran Bursa Malaysia dan AS, jelas syarikat itu lagi.
“Rakyat Malaysia dan warga asing yang mempunyai akaun bank Malaysia layak memohon untuk Akaun Tunai Terdahulu bagi menjual beli saham di pasaran tempatan dan asing.
“Selepas berjaya mengaktifkan Akaun Tunai Terdahulu, pelanggan perlu memilih perkhidmatan Pasaran Asing,” tambahnya.
Pada 31 Disember 2021, firma itu telah mengaktifkan lebih daripada 236,000 akaun perdagangan dan mengendalikan nilai dagangan lebih RM95 bilion di Bursa Malaysia sejak hari perniagaan pertamanya.
“Setakat 31 Disember 2021, Rakuten Trade telah menguasai 7 peratus daripada bahagian pasaran runcit manakala aset pelanggan yang dipegang di bawah amanah melebihi RM3.7 bilion,” jelasnya. – UTUSAN










