10 Briged Para kekal unit elit - Utusan Malaysia

10 Briged Para kekal unit elit

ANGGOTA 10 Briged Para menggunakan teknik fast roping dalam demonstrasi baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Briged Para Atur Gerak Cepat
Pantas menentang musuh negara
Tidak mengira ribut dan taufan
Dari udara datang melawan”

UNGKAPAN lagu 10 Briged Para sudah cukup menggambarkan tanggungjawab besar yang digalas oleh Pasukan Atur Gerak Cepat (PAC) ini bagi mempertahankan negara bersama-sama unit lain dalam Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pasukan ini dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 10 Oktober 1994.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menyingkap sejarah penubuhannya, 10 Briged Para terbentuk secara rasmi pada 5 Oktober 1979 di Kem Sungai Besi untuk mengambil alih sebahagian tugas-tugas operasi dari Markas 2 Briged.

Kemudian, satu batalion infantri Tentera Darat Malaysia iaitu Batalion ke-8 Rejimen Renjer Diraja (8 RRD) dipilih dan seterusnya mendapat latihan payung terjun pada tahun 1988.

Dua tahun kemudiannya, dua lagi pasukan daripada Batalion Ke-17 Rejimen Askar Diraja Malaysia (17 RAMD) dan (9 RAMD) dipilih untuk melengkapkan pasukan ini, seterusnya menukar status ketiga-tiga batalion infantri ini kepada batalion payung terjun.

Pasukan ini mendapat latihan daripada Gerup Gerak Khas (GGK) dan Pasukan Khas Laut (Paskal) membabitkan pelbagai kemahiran di awal penubuhannya.

Selepas hampir empat tahun, dengan secara rasminya 10 Briged Para dilancarkan menerusi Eksesais Halilintar di Langkawi melibatkan senario menawan semula lapangan terbang.

Jika dilihat kepada peperangan pada masa kini, 10 Briged Para turut mempunyai unit sokongan lain seperti artileri dan semboyan untuk menyempurnakan misi.

Selain itu, pasukan ini turut melengkapkan anggotanya dengan pelbagai kemahiran terutama dalam aspek melawan keganasan dan Operation in Build Up Area (OBUA) di samping kemahiran lain seperti penerjunan bebas dan renang tempur.

Walaupun kemahiran yang sama ada pada pasukan lain, 10 Briged Para masih kekal utuh sebagai elemen pasukan elit Tentera Darat yang boleh diatur gerak daripada pelbagai dimensi sama ada darat, laut atau udara.

                                    Kesiapsiagaan menjadi keutamaan unit elit

 

Malah antara sebab mengapa pasukan ini masih diperlukan dan kekal relevan sudah tentu kerana kemampuan untuk melaksanakan serangan amfibia dengan kedudukan geografi Malaysia yang mempunyai garisan pantai yang panjang.

Di samping itu, jika melihat kepada beberapa sejarah sebelum ini , 10 Briged Para amat diperlukan untuk melakukan serangan mengejut dengan masa yang pantas di kawasan konflik.

Walaupun mungkin pasukan ini mempunyai kekurangan daripada segi kekuatan aset dan jumlah anggota, dengan latihan yang ada bersama negara lain, setidak-tidaknya 10 Briged Para mampu menggalas tugas sama seperti kor marin.

Maka, sebab itulah keperluan dan fungsi pasukan ini perlu dikekal dan diperluaskan pada masa akan datang.

Tumpu tugas elit

                                                         ZAMROSE Mohd. Zain

 

Dalam perkembangan lain, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, pasukan itu akan memansuhkan tugas rutin yang biasa dilakukan oleh briged infantri lain dalam Tentera Darat Malaysia.

Beliau yang dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Para berkata, pasukan berkenaan akan memberikan tumpuan kepada tugas elit dalam peperangan, selaras fungsi dan status elit yang digalasnya.

Dalam majlis berkenaan, Zamrose turut dipersembahkan dengan demonstrasi seperti penerjunan bebas, tempur tanpa senjata (TTS), tactical combat casualty care (TCCC), renang tempur, abseiling dan repelling, fast roping, spie rig, tembakan artileri medan dan serangan seksyen.

Sebagai rekod, beret merun dan sayap penerjunan adalah merupakan kebanggaan kepada warga 10 Briged Para.

Penganugerahan kehormat kedua-dua lambang kebanggaan anggota pasukan itu hanya kepada individu, pemimpin tertinggi tentera atau kerajaan sama ada dari dalam atau luar negara tertentu kerana ia merupakan penghormatan serta pengiktirafan briged berkenaan kepada penerimanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini