KUALA LUMPUR : Pemimpin kerajaan dan pembangkang menyambut baik keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang meluluskan pindaan bagi membolehkan rakyat berusia 18 tahun menjadi calon pilihan raya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia merupakan persediaan generasi muda untuk menjadi pelapis yang lebih berketerampilan dan berintegriti untuk memimpin negara pada masa akan datang dengan lebih baik.
“Anak muda ini rata-rata mencemuh dan loya dengan politik negara hari ini yang didominasi dengan ahli politik yang memikirkan kepentingan diri, sebab itu berlaku soal lompat melompat sanggup terlibat dengan rasuah, pecah amanah serta perlakuan untuk mengekalkan kuasa,” katanya ketika dihubungi semalam.
Asyraf dalam masa yang sama turut menjelaskan keputusan DUN Johor itu memberi cabaran baharu kepada semua parti politik tentang pendekatan terhadap golongan muda berusia 18 tahun yang berhak mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil turut menyambut baik keputusan tersebut selaras dengan langkah parti itu yang lebih banyak menonjolkan calon muda dan baharu berbanding parti politik lain.
Jelasnya, calon muda itu kebanyakannya akan diberi pendedahan awal dengan membarisi saf kepimpinan parti tersebut untuk meneliti perjalanan dan hala tuju politik negara sebelum dijadikan sebagai calon mewakili PKR pada PRU nanti.
“Di sini ia mempunyai cabaran dan peluang, banyak dari parti-parti politik akan melihat fenomena calon-calon yang lebih muda akan memberi peluang keemasan untuk parti memudakan imej dan kepimpinan masing-masing. Selain itu, dengan cara menonjolkan saf kepimpinan muda adalah lebih sesuai dengan jumlah pengundi baru yang begitu ramai.
“Kita sedar mungkin rakyat tertanya-tanya apakah keupayaan calon lepasan SPM untuk memahami selok-belok urusan negara dan pentabdiran. Di sini saya lihat bukan setakat proses pilihan raya ,tetapi juga adalah proses pemilihan parti.
“Seperti PKR, parti sebenarnya telag membuka keannggotaan kepada 18 tahun, itu dah memang ada. Untuk langkah pertama, mungkin calon itu akan diangkat sebagai Pemuda atau Exco dalam parti masing-masing untuk diberi peranan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










