PARIS: Berdasarkan satu kajian terkini, pesakit Covid-19 mungkin mengalami gejala yang lebih teruk sekiranya mereka dijangkiti virus itu buat kali kedua.
Kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Penyakit Berjangkit Lancet itu juga secara tidak langsung mengesahkan manusia boleh dijangkiti virus koronavirus lebih daripada sekali.
Lapor Channel News Asia, kajian itu diterbitkan selepas kes jangkitan Covid-19 kali kedua dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat (AS) melibatkan seorang lelaki berusia 25 tahun dari Nevada.
Pesakit tersebut dilaporkan dijangkiti dua varian SARS-CoV-2 berbeza dalam tempoh 48 hari selepas jangkitan pertama.
Lelaki itu mengalami gejala jangkitan yang lebih teruk sehingga perlu memakai alat bantuan pernafasan di hospital.
Kajian itu turut mendedahkan empat lagi kes jangkitan semula Covid-19 di beberapa negara termasuk di Belgium, Belanda, Hong Kong dan Ecuador.
Dalam pada itu, laporan tersebut mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak mengenai virus Covid-19 yang dilihat semakin kebal dalam apa jua keadaan, sekali gus menimbulkan kesangsian jika wabak tersebut dapat dicegah menerusi vaksin atau tidak.
Beberapa pakar turut berpandangan prospek jangkitan semula Covid-19 mungkin mempunyai kesan mendalam terhadap bagaimana dunia memerangi wabak tersebut.
Ketua pengkaji, Mark Pandori berkata, laporan tersebut boleh mempengaruhi usaha penghasilan vaksin yang dilihat menjadi harapan kepada pencegahan penularan Covid-19.
“Risiko jangkitan semula Covid-19 yang tinggi boleh memberi implikasi besar terhadap pemahaman mengenai kekebalan virus tersebut.
“Kita memerlukan lebih banyak penyelidikan untuk memahami berapa lama tempoh imunisasi tubuh boleh bertahan, terutamanya untuk golongan individu yang mudah terdedah dengan SARS-CoV-2 serta mengapa jangkitan kali kedua boleh berlaku,” katanya.
Para pengkaji memaklumkan kumpulan pesakit di AS mungkin terdedah dengan dos virus yang lebih tinggi dalam jangkitan kedua, menyebabkan reaksi yang lebih serius.
Selain itu, jangkitan semula Covid-19 juga boleh dipengaruhi berdasarkan tahap antibodi seseorang individu dan keadaan diburukkan apabila mereka mempunyai jangkitan lain seperti demam denggi.
Namun, pengkaji menyatakan kes jangkitan semula Covid-19 masih jarang berlaku dan melibatkan bilangan kecil berbanding puluhan juta kes jangkitan di seluruh dunia.
Sementara itu, seorang profesor dari Universiti Yale, Akiko Iwasaka berkata, penemuan tersebut boleh memberi gambaran baharu mengenai langkah pencegahan Covid-19.
Katanya, maklumat yang diperoleh boleh digunakan untuk memahami bagaimana penggunaan vaksin dapat mencegah penularan Covid-19 secara berkesan.









