Dengar radio Melayu di negeri orang putih - Utusan Malaysia

Dengar radio Melayu di negeri orang putih

DI luar negara pun rakyat kita setia mendengar siaran radio Malaysia dalam bahasa Melayu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK sangka ketika tunggu giliran untuk perbaharui lesen memandu di pejabat pos pada 7 Januari lalu, kebetulan muncul stesen radio swasta baharu. Uniknya, Molek FM itu dilancarkan pada petang Jumaat penuh berkat dengan sasaran khusus segmen pendengar Melayu di dua negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.

Ironinya, berita kelahiran stesen paling bongsu di tanah air itu tidak heboh ditularkan media kita. Saya tahu pun daripada perbincangan dalam grup WhatsApp peminat platform MYTV.

Berita mengenainya juga bukan pelik kerana minggu terakhir Disember lalu, Buletin FM ada mengumumkan penutupan frekuensi stesen ini. Gelombang FM stereo masing-masing, 101.5 MHz di Kota Bharu dan 93.6 MHz di Kuala Terengganu ‘diambil alih’ siaran percubaan stesen baharu berkenaan.

Pelancaran Molek FM dengan slogan Gu Pantai Timur menjadikan wilayah berkenaan kini mempunyai sejumlah enam saluran radio tempatan, antaranya Gegar FM dan Manis FM. Selain itu, tiga stesen awam milik Jabatan Penyiaran iaitu Kelantan FM, Terengganu FM dan tentunya paling luas liputan siaran menjangkau Pantai Barat, Pahang FM.

Kini, Pantai Timur ‘meriah’ stesen tempatan kerana sebelum ini angkanya sama dengan utara Semenanjung yang gah ada Langkawi FM, Perlis FM, Kedah FM, Mutiara FM dan Perak FM. Bagaimanapun, bukanlah itu yang hendak saya cerita sangat, tetapi kandungan siaran stesen baharu ini menunjukkan trend peralihan kecenderungan pendengar radio mula lebih jati diri.

Secara jujur, bukanlah luar biasa bagi penduduk di luar Lembah Klang lebih minat mendengar siaran radio lokal berbanding pelbagai stesen yang berpusat dan dipancarkan dari ibu negara. Bukan kerana mereka ‘anti-KL’, tetapi sifat semula jadi manusia amat suka sesuatu yang dekat dengan jiwa. Dalam bidang psikologi disebut proximity atau perihal kedekatan.

Saya sendiri ketika berkhidmat di Pulau Pinang, memang langsung tidak pernah dengar siaran radio dari Kuala Lumpur kerana apa disembang juruhebah tiada kaitan pun dengan negeri itu. Justeru, saya selesa ikuti Mutiara FM bukan kerana ia stesen radio tertua di Malaysia, tetapi kandungannya dekat dan lebih ada nilai berita terutama dialek Penang dituturkan penyiarnya.

Formula sama inilah juga diaplikasikan Molek FM. Bukan disebabkan populariti DJ selebriti seperti Mat Dan, bahkan sebahagian besar lagu diputarkannya memang amat ketempatanan. Juga, tiada lagu Inggeris yang entah apa-apa seperti kebiasaan disiarkan stesen berbahasa Melayu dari ibu negara kerana konon menganggap irama orang putih tahap world sangat.

Situasi ‘perasan syok sendiri’ itu jelas berbeza dengan penampilan stesen radio berbahasa Melayu di Singapura dan Brunei yang 100 peratus memang begitu gaya kemelayuan sifatnya.

Teringat ketika di China, Korea Selatan dan Jepun, apabila berada dalam teksi, pemandunya membuka siaran radio berbahasa Inggeris kerana tahu saya orang asing.

Lucunya, lagu asal berbahasa Inggeris dialih bahasa dan dinyanyikan semula oleh artis negara tersebut.

Begitu juga ketika di Jakarta dan Bali, supir mobil menyantuni saya dengan siaran radio, namun lagu tetap dalam bahasa Indonesia dan amat sukar dengar lagu Barat.

Kesimpulannya, saya tidak pasti kerana hendak jadi maju, stesen radio popular Melayu perlu bangga siar lagu Inggeris. Mungkin pemilik stesen itu tidak sedar, di luar negara pun rakyat Malaysia setia mendengar siaran radio Malaysia yang banyak putar lagu Melayu kerana lebih dekat ‘roh’ dalam jiwa mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×