PETALING JAYA: Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tiada kuasa untuk menentukan seseorang itu bersih atau bersalah kerana semua isu yang tercetus memerlukan siasatan menyeluruh sebelum mendapat keputusan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Hassan Abdul Karim berkata, walaupun Tan Sri Azam Baki adalah Ketua Pesuruhjaya Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau boleh disiasat oleh badan itu kerana tiada pengecualian terhadap mana-mana rakyat Malaysia termasuk penjawat awam.
“Sebagai contoh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga disiasat dan dihadapkan ke mahkamah. Jadi Azam juga wajar melalui proses sama bagi menentukan beliau bersalah atau tidak,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang semalam.
Menurut beliau, dalam isu ini Peguam Negara perlu memainkan peranan dalam menjelaskan aspek siasatan kerana yang akan menentukan bersalah atau bersih ia bergantung kepada hasil siasatan dan proses mahkamah.
Kelmarin, Azam pada sidang akhbar khas beliau tampil menjelaskan bahawa saham bernilai jutaan ringgit atas namanya didakwa dibeli adiknya, Nasir Baki tetapi menggunakan akaunnya.
Justeru, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu memaklumkan, perkara tersebut tidak harus menjadi isu kerana menurutnya sesiapa sahaja boleh menggunakan akaun orang lain untuk membeli saham di pasaran terbuka kerana ia bukan kesalahan untuk berbuat demikian.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, dalam situasi ini, Azam diminta untuk berehat atau bercuti seketika bagi membolehkan siasatan telus dijalankan dan tanpa campur tangan mana-mana pihak.
“Perdana Menteri dan Peguam Negara tidak boleh mendiam diri, kedua-duanya perlu membuat kenyataan agar SPRM tidak terus dipandang serong oleh rakyat sekaligus menjejaskan integriti badan ini,” katanya.
Senada, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla memaklumkan, LPPR tidak boleh memuktamadkan isu berkenaan kerana LPPR tiada kesan dari sudut perundangan berkaitan konsep siasatan jenayah.
Menurut beliau, sekalipun tidak bersalah Azam mempunyai hak untuk namanya dibersihkan menurut proses yang telus, tepat dan betul selaras prinsip kedaulatan undang-undang.
“Justeru, penting untuk Perdana Menteri meminta Peguam Negara bertindak dengan tegas dan segera dalam pembentukan jawatankuasa siasatan khas untuk menyiasat isu dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Sementara itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari berkata, fungsi penubuhan LPPR bukanlah menentukan amalan rasuah berlaku atau tidak dalam SPRM selain SPRM tidak boleh membersihkan imejnya sendiri.
Menurut beliau, dalam isu ini hanya Jawatankuasa Khas bawah Parlimen instrumen terbaik untuk menyiasat kes pemilikan saham membabitkan Azam.
Pengerusi JKMR, Tan Sri Dr. Rais Yatim pula berkata, JKMR akan membuat penelitian mendalam berhubung isu pemilikan saham atas nama Azam sebelum mengemukakan nasihat kepada Perdana Menteri.
Menurut beliau, pihaknya akan mengadakan mesyuarat minggu depan dan isu tersebut penting kerana memerlukan penelitian mendalam demi menjaga nama baik dan integriti SPRM selaku badan pencegahan rasuah.- UTUSAN










