MAINS bantu pulih mangsa banjir - Utusan Malaysia

MAINS bantu pulih mangsa banjir

FADILAH Mohamed (kiri) dan Ketua Kaunselor MAINS, Norazman Amar turut menyampaikan bantuan daripada Bahagian Kaunseling dan Pembangunan Insan MAINS kepada asnaf yang terkesan banjir Kampung Sungai Rotan, Jelebu baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSIBAH atau bencana yang berlaku secara tiba-tiba akan mendatangkan pelbagai kesusahan, kerugian kepada mangsa yang terlibat. Apa yang terjadi adalah satu perkara yang tidak diduga yang bagaimanapun perlu diterima dengan reda.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kejadian bencana banjir yang turut mengakibatkan kemusnahan alam sekitar dan kemalangan jiwa di beberapa negeri.

Di Negeri Sembilan, beberapa daerah termasuk Seremban dan Jelebu antara kawasan yang paling terjejas akibat banjir sehinggakan memusnahkan kediaman dan harta benda.

Pelbagai pihak tampil memberi pertolongan termasuk membersihkan rumah mangsa dan bantuan barangan keperluan namun masih ada mangsa yang trauma dengan dengan kejadian banjir besar tersebut.

Bagi Kaunselor Kanan, Seksyen Kaunseling Komu­niti, Jabatan Zakat, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Fadilah Moha­med, pihaknya ber­kesempatan turut terlibat dalam memberikan per­khidmatan psikososial.

Ini terutamanya dalam meng­uruskan emosi kepada mangsa banjir yang terkesan agar dapat dibantu dan dipulihkan.

FADILAH MOHAMED

“Kami menggunakan kit pertolongan cemas psikologi atau psychological first aid (PFA) bagi memastikan mangsa yang terlibat tidak menghadapi kesan buruk yang berpanjangan terhadap mental akibat kejadian bencana tersebut.

“Peranan Bahagian Kaunseling MAINS akan membantu memberi bantuan psikologi bagi memastikan mangsa yang terjejas akibat bencana banjir dapat menghadapi dugaan dengan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Menara MAINS, Seremban baru-baru ini.

Bantuan psikologi inilah yang disebut sebagai pertolongan cemas psikologi atau PFA yang bertujuan menjaga keadaan mental mangsa yang berisiko mengalami trauma pada masa akan datang.

Sementara Kit kecemasan PFA sangat penting untuk mengenal pasti tahap trauma yang dialami mangsa berdasarkan garis masa untuk satu tempoh tertentu.

4 GARIS MASA TRAUMA

Garis masa trauma ini terbahagi kepada empat fasa, iaitu intervention needed (24 jam pertama), minimal intervention (beberapa hari hingga tiga minggu), intervention (selepas tiga minggu) dan gangguan tekanan selepas trauma (sebulan).

Mengulas lanjut, Fadilah berkata, di situlah peranan mereka mengenal pasti populasi yang perlu dibantu melalui ‘kit kecemasan’ PFA.

Dengan garis masa inilah pihaknya berupaya mengesan siapa mangsa banjir yang berjaya ‘pulih’ dan siapa 10 peratus mangsa yang benar-benar trauma dan perlu ‘diselamatkan’.

“Pada fasa awal ini atau dikenali intervension needed iaitu kebanyakan mangsa banjir akan berasa sangat tertekan, panik, terkejut, menangis, keliru, rasa bersalah dan sukar mempercayai sesiapa.

“Umumnya, ini adalah simptom normal yang dialami kebanyakan mangsa dalam tempoh 24 jam pertama selepas bencana manakala pada fasa kedua atau minimal intervention ini dilihat kebanyakan mangsa akan mula move on atau sudah menerima takdir.

“Mereka percaya bahawa ada harapan untuk keadaan pulih seperti sediakala malah, ada antara mereka yang pulih ini akan sama-sama menyertai misi bantuan untuk membantu mangsa banjir lain yang alami nasib sama,” katanya yang menjelaskan begitupun, pada hakikatnya, ketika ini juga masih ada lagi mangsa yang masih trauma.

Ia dibuktikan melalui simptom ditunjukkan mangsa seperti masih berasa takut, selalu berwaspada, cepat marah, beremosi, sukar untuk tidur dan kerap teringat detik tragedi tersebut.

Fasa ketiga iaitu intervention, berlaku selepas tiga minggu berlalu. Mangsa yang masih trauma akan berterusan menunjukkan simptom dan difahamkan ia lebih ‘keras’ seperti tidak dapat berehat dengan tenang, agak panik, sentiasa sedih dan selalu berfikiran negatif.

Pada fasa keempat, berlaku gangguan stres pasca trauma atau PTSD (post-traumatic stress disorder). Jika mangsa tidak pulih genap sebulan bencana berlalu, besar kemungkinan mangsa berada pada fasa tertinggi trauma iaitu gangguan tekanan dan sangat perlu di bantu dan dirujuk ke hospital.

Mengulas mengenai pengalaman dilalui, Fadilah, berkata, baru- baru ini pihaknya bersama Skuad Gerak Khas Bahagian Agihan MAINS berkesempatan menyantuni penduduk dari beberapa buah kampung terjejas banjir antaranya Sungai Rotan, Jelebu bagi memberi kaunseling.

“Alhamdullilah mereka sangat reda walaupun telah diuji dengan kehilangan harta benda namun bersyukur kerana semua ahli keluarga berada dalam keadaan selamat,” katanya yang menjelaskan MAINS turut menyantuni orang bukan Islam yang turut terjejas banjir.

FADILAH Mohamed (kiri) dan Ketua Kaunselor MAINS, Norazman Amar memberi perkhidmatan psikososial untuk asnaf yang terkesan banjir dengan turun menziarahi seorang asnaf yang tinggal di Kampung Sungai Rotan, Jelebu baru-baru ini.

Bahagian Kaunseling MAINS memberikan khidmat kaunseling dan nasihat kepada semua golongan masyarakat termasuk asnaf yang terkesan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.

Ia diteruskan selepas banjir yang melanda baru-baru ini bagi memberi peluang kami mendekati serta mendengar luahan mereka.

“Kami sangat mengalu-alukan mangsa terjejas akibat banjir yang mahu berkongsi sebarang masalah boleh menghubungi talian tele-kaunseling MAINS 019-7006629 pada waktu pejabat.

“Mangsa boleh mendapatkan khidmat kaunseling termasuk mendapatkan khidmat kaunselor di daerah. Sedaya upaya kami mahu memberikan khidmat dan bantuan bersesuaian dengan tenaga kepakaran yang ada,” katanya.

Bahagian kaunseling MAINS mempunyai 11 orang kaunselor berdaftar dibawah Lembaga Kaunseling Malaysia dan dibantu enam orang penolong kaunselor yang mempunyai latar belakang kaunseling.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×