Waktu ini Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berbunga hatinya.
Baru diumumkan World’s Most Admired kategori Malaysia 2020, beliau dan isteri, Datin Dr. Halina Mohd Yunos serta anak-anak, Sophea Isabella, 9, dan Sophea Natasha, 7, kembar Sheikh Adam dan Sheikh Noah, 2, sedang bahagia menanti kembar dijangka lahir pada tarikh kelahiran isteri, 28 Disember ini.
Dr. Sheikh Muszaphar menyifatkan pengiktirafan sebagai dorongan menjadi insan terbaik yang boleh menjadi inspirasi kepada semua.
Namun keutamaan dirinya sekarang ialah menumpukan kepada keluarga dan anak-anak.
“Saya ingin alihkan pesona angkasawan kepada guru keibubapaan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Angkawasan negara ini berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dengan kapal angkasa Soyuz bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan Yuri Malenchenko dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada 10 Oktober 2007.
Katanya, segala-galanya bermula bermula apabila menyambut kelahiran anak sulung, beliau dapati banyak buku keibubapan di pasaran tertumpu kepada penulis Barat.
“Saya rasa ada gap di situ. Di media sosial juga saya kerap ditanya mengenai isu kanak-kanak. Sejak itu saya mulai berkongsi dengan ibu papa yang lain di instagram (IG),” katanya.
Menghampiri ke angka sejuta pengikut di IG, Dr. Sheikh Muszaphar berkata, setiap perkongsian ditulis sendiri.
“Saya tidak upah orang. Seronok berkongsi. Tetapi dalam setiap perkongsian itu saya tidak suruh orang mengikut saya seratus peratus. Terpulang kerana saya hanya berkongsi,” katanya.
Memiliki kembar lelaki lahir pada tarikh lahirnya, 27 Julai. Kembar kedua pula dijangka lahir pada tarikh lahir lahir isterinya, Dr Sheikh Muszaphar berkata, mereka memang merancang dan membuat kiraan yang tepat bagi mendapat tarikh sama.
“Kita boleh rancang bila dan sebagai pasangan doktor kami tahu. Malah saya mahu 10 anak. Dr. Halina sekarang dan 40 tahun. Kalau diizinkan, insya-Allah,” katanya.
ANAK
Memiliki anak pintar, Dr. Sheikh Muszaphar berkata, ia boleh direalisasikan asalkan ibu bapa itu memiliki kesungguhan.
“Untuk diri saya, adalah suatu ‘pantang’ untuk anak-anak duduk menonton televisyen tanpa melakukan sebarang aktiviti. Anak-anak macam span, otaknya cepat menyerap pelajaran. Sebab itulah saya galakkan anak seawal usia enam bulan sudah dihantar di pusat asuhan. Semakin besar, semakin banyak kelas saya suruh mereka ikuti,” katanya.
Jelasnya, asuhan ke atas kesemua anaknya adalah kombinasi sumber rujukan menerusi pembacaan dan keluarga sebelah dirinya dan isteri.
“Dr. Halina empat beradik yang semuanya doktor. Saya kira mesti ada formula tertentu melahirkan anak cemerlang dan berjaya,” katanya.
Begitupun katanya, cara asuhan dan didikan anak memerlukan persetujuan antara suami dan isteri yang mana mereka bersepakat menjadikan anaknya semua doktor.
BAPA TIDAK BERPERANAN

Mengulas mengenai anak kurang cemerlang dalam pelajaran, beliau berpendapat, kegagalan anak-anak banyak dipengaruhi bapa yang tidak memainkan peranan sepatutnya.
“Sebagai bapa mereka sepatutnya membantu isteri dalam membesarkan anak. Macam saya, semuanya saya lakukan. Saya hanya tidak boleh menyusukan badan sahaja,” katanya menekankan mengenai keterlibatan dirinya dalam mengasuh anak.
Selain mendapat pendidikan di sekolah, Dr. Sheikh Muszaphar turut melengkapkan mereka dengan ilmu lain seperti seni mempertahankan diri, berenang dan gimnastik.
Mengenai kemampuan dirinya selaku angkasawan membolehkan dirinya menghantar anak ke pelbagai kelas nadanya berubah.
“Saya marah betul apabila orang cakap macam itu. Itu juga tanda sikap negatif. Tetapi kalau kita ada kemahuan, kita boleh ikut bajet sendiri. Macam saya, ada perkara yang tidak mampu ajar, sebab itu mereka dihantar ke kelas,” katanya.
ANAK UJI KAJI
Buku keibupaan dwi bahasa, My Way of Parenting itu laku bagai pisang goreng panas. Kata Dr. Sheikh Muszaphar, setahun diambil untuk menyiapkan buku itu.
Kesukaran mendapatkan buku rujukan berhubung isu keibubapaan dalam acuan tempatan mencetus idea kepada dirinya berkarya. Malah, beliau kini sedang dalam usaha menerbitkan sebuah lagi buku, mengenai perbandingan didikan anak lelaki dan anak perempuan.
“Mendidik anak lelaki mencabar pada usianya kanak-kanak tetapi apabila sudah agak dewasa lebih senang. Berbanding anak perempuan, masa kecil menjaganya senang tetapi bila remaja agak mencabar,” katanya.
Mengenai ketaksuban dirinya menjadikan anaknya seperti bahan uji kaji, Dr Sheikh Muszaphar tergelak dan tidak menafikannya.
“Memang anak itu bahan uji kaji. Setiap anak itu bahan uji kaji sebab itulah mendidik setiap anak tidak sama. Tetapi apapun gayanya, kita perlu letakkan agama Islam sebagai asas,” katanya.
Dua orang anak perempuannya khatam al-Quran pada usia enam tahun.
Beliau mengakui turut menerima kritikan dan luahan anak-anaknya termasuk mahu memiliki telefon pintar.
“Saya tegas tetapi setiap larangan itu saya jelaskan sebab apa. Saya kira itulah cabaran ibu bapa masa kini. Kita kena tegas dan tahu apa yang kita lakukan, jangan ikut orang lain.
“Begitupun anak saya faham. Anak cuma ada telefon biasa untuk terima dan buat panggilan, bukannya telefon pintar,” katanya.
Dr. Sheikh Muszaphar berkata, hidupnya sekarang adalah untuk anak-anak dan berharap ibu bapa lain turut memberikan tumpuan kepada aspek positif dalam diri anak-anak.
“Cungkil dan gilap bakat anak,” pesannya.
Ditanya mengenai penglibatan dalam politik, walaupun berminat tetapi memikirkan dirinya akan kehilangan masa bersama anak-anak, katanya: “tak apalah, tak kot,” mengakhiri pertemuan.










