Ranting terbiar serikan kediaman - Utusan Malaysia

Ranting terbiar serikan kediaman

Ruang tamu kediaman yang menjadikan ranting sebagai hiasan utama rumah Rafidah Nani Afandi di Kampung Temeris, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ranting pokok yang bersepah di jalanan mungkin nampak biasa bagi kebanyakan orang tapi tidak pada Rafidah Nani Afandi.

Ranting-ranting terbiar itu padanya suatu seni dari alam semula jadi yang tidak ternilai. Daripada situ tercetus idea buat anak kelahiran Negeri Sembilan itu untuk menghias kediaman miliknya dengan bahan terbiar itu.

Ternyata sentuhan kreatif wanita berusia 43 tahun itu menjadikan terataknya yang terletak di Kampung Temeris, Kuala Pilah mempunyai aura klasik dan estetik yang tersendiri.

Menjengah sahaja ke ruang tamu, pandangan mata sudah tertancap kepada hiasan ranting kayu yang menghiasi kawasan ruang rehat keluarga berkenaan.

Ranting kayu tinggi berwarna putih diletakkan di bahagian sudut bersama perabot dan dinding berwarna suram yang menonjolkan elemen klasik eksklusif.

Ia merupakan ranting kayu pertama yang dibawa balik oleh Rafidah kira-kira enam tahun lalu dan diawet dengan baik untuk dijadikan aksesori.

“Pada awalnya suka-suka sebab memang sukakan ranting. Perlahan-lahan saya belajar macam mana nak awet ranting dengan mencuba pelbagai teknik supaya lebih tahan lama.

“Mula-mula tak menjadi juga (awet) dan agak reput. Lepas itu saya cuba simpan pada suhu bilik waktu ranting masih basah dan semburkan cat tanpa warna.

“Apabila kering tanpa terkena cahaya matahari secara terus, ia kering dengan sempurna dan menjadi liat (tahan lama),” katanya kepada Utusan Malaysia.

RAFIDAH NANI AFANDI

Seni ranting itu juga diabadikan di kamar tidur yang dihias seakan berbingkai berlatar belakangkan warna putih untuk menjadikannya lebih menonjol.

Cantik dan jimat

Kediaman yang cantik bukan sahaja bergantung kepada barangan mahal. Asalkan bijak menata rias menggunakan barang-barang yang ada sudah cukup menjadikan suasana sedap mata memandang.

Rafidah mengakui tinggal di kawasan kampung memberi kelebihan mengumpul pelbagai bentuk ranting kayu dan barang buangan lain dengan lebih mudah.

“Hiasan dalam rumah ni banyak menggunakan barang terpakai dan terbuang sebagai langkah berjimat. Tidak mahu terlalu berbelanja semata-mata nak menjamu mata.

Bukan saja ranting, wanita ini juga banyak mengawet daun-daun pokok kipas untuk dijadikan barangan dekorasi dan aksesori.

Rafidah kini aktif mengambil tempahan produk jualan kraf daripada barangan terpakai selepas ramai yang berminat dengan hasil sentuhannya.

Konsep klasik ala galeri

Keunikan hiasan ranting diserikan lagi dengan tema klasik dalam ruang kediaman berkenaan.

Rona gelap dan penggunaan material kayu pada beberapa bahagian menjadikan suasana cukup nyaman seakan berada di persekitaran alam semula jadi.

Tambahan pula, dekorasi pada dinding yang direka sendiri oleh pemilik menjadikan elemen klasik semakin ‘hidup’.

Hiasan ranting turut memberi seri pada kamar tidur.

Antara yang menjadi perhatian ialah hiasan dinding di bilik kerja yang diletakkan sehelai baju kebaya klasik di dalam bingkai kayu.

“Ruangan yang paling saya suka adalah bilik kerja kerana di situ saya gantung baju kebaya arwah emak. Di situ saya rasa banyak idea datang,” katanya yang juga tukang jahit.

Di bahagian dapur pula, pelbagai barangan antik seperti mesin pengisar ais, pemukul baulu, penimbang lama dan tampi disusun kemas menampakkan ruangan itu seakan muzium.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×