Taman Negara tutup: Peniaga, penduduk tiada pendapatan - Utusan Malaysia

Taman Negara tutup: Peniaga, penduduk tiada pendapatan

Pengusaha Tebing Rest House, Mohd. Abdul Rani termenung di hadapan inap desanya yang kini kosong selepas penutupan Taman Negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Penutupan operasi Taman Negara Kuala Tahan di sini bagaikan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana memberi kesan kepada pengusaha pelancongan yang kini sifar pendapatan.

Penutupan Taman Negara sejak 6 Oktober lalu melalui notis sehari sebelum itu menyebabkan pengusaha pelancongan termasuk pengusaha resort, chalet, pemandu pelancong, pemilik bot penambang dan pemilik kedai makan hilang pendapatan sekelip mata.

Pengusaha inap desa Tebing Rest House, Mohd. Abdul Rani berkata, seluruh pengusaha perniagaan pelancongan dan penduduk Taman Negara kini hilang pendapatan dan sukar menyara kehidupan.

“Sebelum ini saya ada enam pekerja dan lepas PKP tinggal seorang sahaja yang mampu diambil untuk bangkit kembali, tetapi kini penutupan Taman Negara secara mengejut menyebabkan sekali lagi saya terkesan teruk dan pendapatan saya kini kosong.

“Lebih membebankan saya perlu juga membayar pinjaman perniagaan RM3,300 sebulan dan kos-kos lain.

“Saya buntu kerana tiada sumber pendapatan lain selain mencari rezeki menerusi industri pelancongan,” katanya di sini semalam.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebelum ini dalam kenyataannya memaklumkan penutupan sementara kesemua kemudahan awam kelolaan jabatan itu bermula Selasa lalu hingga diberitahu kelak.

Menurut Mohd. Abdul, dia dan pengusaha pelancongan lain masing-masing menunggu kemungkinan Taman Negara ini boleh dibuka semula.

Beliau berkata, penutupan Taman Negara turut menyaksikan operasi kira-kira 110 bot penambang terhenti dan menjejaskan pendapatan lebih 100 orang penduduk tempatan.

“Saya merayu supaya pihak berkenaan memberikan kelonggaran bagi membuka semula Taman Negara kerana di sini belum ada kes Covid-19 malah kami juga mengamalkan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Sementara itu, Pengurus Mutiara Resort Taman Negara (MRTN), Sabri Abdullah berkata, penutupan berkenaan menyebabkan MRTN yang mempunyai 120 pekerja dengan purata bayaran gaji kira-kira RM300,000 sebulan terpaksa beroperasi dalam keadaan rugi selepas pembatalan tempahan oleh pengunjung.

“MRTN adalah satu-satunya resort di Pahang yang terpaksa ditutup, malah kesan penutupan Taman Negara turut memberi impak besar kepada masyarakat setempat termasuk pemandu pelancong,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×