PUTRAJAYA: Penguatkuasaan tegas dan pemeriksaan berkala perlu dilakukan bagi memastikan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Wilayah Persekutuan tidak dimiliki golongan tidak sewajarnya sehingga menafikan hak golongan yang lebih layak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Kebajikan Komuniti Prihatin Malaysia (Prihatin), Irwan Fahmi Ideris berkata, kerajaan Persekutuan sudah bertukar tiga kali dan isu sebegini terus berlaku tanpa ada penyelesaian hingga rakyat yang miskin teraniaya.
Katanya, penguatkuasaan boleh dilakukan dengan merujuk latar belakang, pendapatan dan tanggungan melalui dalam talian sahaja yang berhubung dengan pelbagai agensi berkaitan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Malah dalam masa sama, penguatkuasaan tidak perlulah fokus saman parkir sahaja sedangkan aspek penguatkuasaan luas skop kerjanya kerana perlu ingat, kerajaan sudah bertukar tiga kali tetapi kakitangan yang bekerja dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) masih sama.
“Masalah golongan tidak sepatutnya yang menduduki PPT boleh diatasi dengan penguatkuasaan tegas yang bukannya ikut musim atau operasi. Selain itu, kerajaan juga perlu menilai keupayaan pendapatan sesebuah keluarga dengan melihat tanggungan, bukannya pada pendapatan semasa-mata,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia mendedahkan sebanyak 1,108 unit PPR di Wilayah Persekutuan dirampas daripada pemiliknya yang kebanyakannya golongan yang menyalahi syarat menyewa premis, sekali gus menafikan hak golongan yang lebih layak mendapatnya.
Kebanyakan pemilik terbabit memiliki kediaman sendiri dan tidak menduduki rumah PPR berkenaan, sebaliknya menyewakan premis tersebut kepada orang lain manakala ada yang membiarkan rumah berkenaan kosong atau menjadikannya sebagai rumah persinggahan.
Kesalahan itu meliputi 949 kes daripada sejumlah 1,108 unit PPR dan Perumahan Awam (PA) yang dirampas sepanjang tiga tahun sejak 2019 hingga Jun tahun ini kerana didapati menyalahi syarat menyewa di perumahan tersebut melalui 11 kategori kesalahan.
Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Martabat Sejagat Malaysia (Martabat), Mohd. Khairulhisham Norudin turut menyuarakan perkara sama bahawa penguatkuasaan dan pemeriksaan berkala adalah asas hak menjaga kebajikan golongan susah.
“Pemeriksaan pihak berkuasa di kawasan lain agar ia dapat memastikan objektif PPR sebenar dapat dicapai.
“Bagi golongan yang telah memiliki rumah sendiri dan berkemampuan, mereka perlulah sama-sama bertanggungjawab membantu kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan dan tidak mengambil kesempatan yang tidak sepatutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











