SUNGAI PETANI: Tanggal 26 Disember 2004, pasti menjadi memori kekal kepada penduduk di sekitar Kota Kuala Muda, di sini berikutan badai tsunami yang meranapkan 10 kampung dan meragut 11 nyawa.
Selain kerosakan rumah dan kehilangan harta benda, tragedi ombak besar itu turut melumpuhkan semua aktiviti nelayan di kawasan tersebut apabila bot nelayan serta peralatan menangkap ikan musnah.
Mengimbau kembali kejadian 17 tahun lalu, seorang nelayan dari Kampung Tepi Sungai, Alias Saedin, 61, berkata, kebanyakan mangsa tsunami mengambil masa hampir setahun untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
Katanya, dalam tempoh setahun itu, kebanyakan mereka menjalani kehidupan seharian dengan bergantung kepada sumbangan daripada saudara-mara dan orang ramai.
Alias berkata, tragedi tsunami yang meragut nyawa dua ibu saudara dan seorang sepupunya itu sememangnya satu kenangan pahit yang tidak dapat dilupakan.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana isteri dan tiga orang anak saya yang masih kecil ketika itu selamat dalam kejadian berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Aisah Saad, 77, turut berkongsi pengalaman melalui detik-detik cemas ketika rumah yang diduduki ketika itu dilanda tsunami.
Katanya, pada hari kejadian, kebanyakan penduduk setempat sibuk menghadiri dua majlis kenduri dan menziarahi kematian anak salah seorang penduduk kampung.
Aisah berkata, bagaimanapun menjelang pukul 1 petang, suasana harmoni pada hari tersebut berubah menjadi tragedi ngeri buat mereka semua.
“Saya masih ingat ketika rumah kami dimasuki air setinggi empat meter, saya bersama dua anak saya berlari sehelai sepinggang dengan badan dipenuhi lumpur untuk menyelamatkan diri.
“Hanya Allah sahaja yang tahu keadaan kami ketika itu, antara hidup dan mati namun saya bersyukur kerana umur kami masih panjang dan boleh menjalani kehidupan sehingga ke hari ini,” katanya.
Tambahnya, dia tidak akan melupakan kejadian ngeri itu sehingga akhir hayatnya.
“Sehingga kini saya akan menitiskan air mata setiap kali terkenangkan peristiwa itu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










