SHAH ALAM: Sampah yang terkumpul akibat banjir yang melanda di negeri Selangor pada hujung minggu dijangka melepasi 1,000 tan metrik apabila semakin banyak barangan yang rosak dan musnah dikumpulkan dari kawasan-kawasan yang terjejas.
Di Shah Alam sahaja, setakat kelmarin sebanyak 824 tan metrik sampah dikumpulkan dari seluruh kawasan di bandar raya itu membabitkan 27 kawasan yang ditenggelami air.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor memaklumkan terdapat dua kawasan kritikal kini sedang diberi fokus oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) iaitu di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dan Padang Jawa, Seksyen 16.
Menurutnya, MBSA turut menerima bantuan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alam Flora.
“Insya-Allah pada malam ini ada pasukan dari Kelantan dan Kedah juga akan bantu,” katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Banjir MBSA di sini.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Taman Sri Muda mendapati penduduk menghadapi masalah barang buangan yang berair dan berbau.
Tempat letak kereta sekitar rumah pangsa dan tepi jalan di kawasan rumah yang terjejas teruk dengan banjir besar selama lima hari itu, menjadi tempat pengumpulan sampah apabila kerja pembersihan bermula.
Rata-rata penduduk berharap, sampah yang dikumpulkan dapat dikutip dengan segera supaya tidak timbul masalah lain pula seperti serangan haiwan dan serangga perosak.
Penduduk di Jalan Pesona 25/116, Noor Azura Sahril, 37, berkata, semua barang peribadi saya, suami dan anak kena dibuang sebab banyak tak boleh dipakai, belum lagi kira barang dapur seperti barangan basah dan kering yang sememangnya berbau sebab terlalu lama tenggelam banjir.
Hasnani Abu Bakar, 37, yang tidak menyangka terpaksa membuang hampir keseluruhan barangan dalam rumah selepas kali pertama berhadapan dengan banjir besar sedemikian.
“Saya pulang dari PPS semalam selepas diberitahu air sudah surut, tengok keadaan rumah memang teruk, walaupun tidak sampai 24 jam surut, tetapi bau cukup memualkan dan saya terpaksa buang banyak sangat barang kerana tak boleh digunakan lagi,” katanya. -UTUSAN










