SHAH ALAM: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Itu keluhan penduduk mangsa banjir sekitar Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, yang mendakwa caj menunda kenderaan mahal dan tidak munasabah sehingga membebankan mereka.
Penduduk Pangsapuri Andorra, Mak Chi Minh, 51, berkata, kereta Proton Waja miliknya mengalami kerosakan menyeluruh akibat ditenggelami air sejak Sabtu lalu.
“Saya terpaksa menghantar kereta itu ke bengkel untuk dibaiki. Namun, saya terkejut kerana caj tunda yang perlu dibayar berjumlah RM250 walaupun lokasinya hanya beberapa kilometer,” katanya ketika ditemui semalam.
Tinjauan di situ mendapati, ribuan kenderaan mangsa yang rosak akibat banjir masih tersadai di tepi jalan dan kawasan perumahan.
Bagi pemandu lori, Taslim Kudin, 53, caj dikenakan itu perlu lebih murah bagi membantu mangsa kurang berkemampuan yang tiada biaya insurans menunda kenderaan.
“Saya turut terkesan selepas dua kereta tenggelam sepenuhnya dalam banjir berkenaan. Selain caj tunda, saya perlu memikirkan kos membaiki kereta yang rosak teruk,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Trak Tunda dan Pengangkut Kereta 1 Malaysia (1MTTCC) menyifatkan kesukaran menunda kenderaan di kawasan banjir sehingga terpaksa mengambil masa lama antara faktor peningkatan harga perkhidmatan itu ketika ini.
Presidennya, Md. Yusof Yahya berkata, permintaan tinggi diterima sehingga lebih 100 tempahan dengan jumlah perkhidmatan yang terhad dalam sehari turut menyumbang kepada faktor peningkatan harga.
Katanya, peningkatan harga bukan dibuat sesuka hati atau mahu mengambil kesempatan terhadap mangsa banjir, sebaliknya mengambil kira pelbagai faktor.
“Biasanya harga yang dikenakan adalah RM150 untuk 10 kilometer pertama. Harga naik sebanyak RM4 untuk setiap kilometer seterusnya. Namun pada masa sekarang, harga perkhidmatan mencecah RM250 sehingga RM300. Ini disebabkan ada kawasan yang berselut sehingga mengambil masa lebih empat jam untuk menunda kenderaan terlibat.
“Itu belum lagi dikira masa yang diambil untuk menunda kenderaan terlibat sehingga memakan masa lebih tiga jam untuk sesebuah kereta. Kadangkala ada kenderaan yang mahu ditunda dihalang kenderaan lain pula. Sebab itulah harga perkhidmatan naik ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambah Md. Yusof, harga yang ditetapkan pihaknya mengikut peraturan dan ketetapan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDNHEP) bagi setiap perkhidmatan disediakan. – UTUSAN ONLINE











