Disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik ketika berusia 22 tahun menyebabkan Sarah perlu bergantung pada rawatan hemodialisis. Tuah menyebelahi Sarah apabila adiknya mendermakan sebiji buah pinggang untuknya. Sarah kini tidak perlu lagi melakukan hemodialisis.
Pemindahan buah pinggang memberi manfaat besar kepada pesakit yang tidak lagi perlu bergantung pada dialisis sepanjang hayat mereka. Ia sekaligus meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perunding Nefrologi, Mahkota Medical Centre, Melaka, Dr. Yew Shiong Shiong berkata, pemindahan buah pinggang atau transplantasi ginjal diperlukan jika pesakit mengalami kegagalan ginjal tahap akhir.
Bagi pesakit dengan kegagalan ginjal tahap akhir tanpa transplantasi, mereka perlu melakukan hemodialisis biasa atau dialisis peritoneal yang bertindak mengeluarkan lebihan cecair dan toksin dari badan.

“Bagaimanapun tidak semua pesakit sesuai melalui kaedah ini. Antara isu yang timbul ialah toksin tidak dibersihkan dengan sempurna dan banyak fungsi lain daripada ginjal normal yang tidak ditangani menyebabkan pesakit mengalami anemia, kelemahan tulang dan banyak larangan diet,” katanya.
Jelas Dr. Yew, mana-mana pesakit dengan kegagalan ginjal peringkat akhir akan secara automatik dipertimbangkan oleh ahli nefrologi mendaftar ke senarai menunggu pemindahan ginjal nasional. Namun jika pesakit menolak, mereka akan dikecualikan.
KAEDAH PENDERMAAN
Ada dua kaedah seseorang itu boleh menderma ginjal iaitu berjanji sebagai penderma dan menderma sebagai penderma buah pinggang semasa masih hidup.
“Bagi kaedah pertama, ia perlu dilakukan dengan membuat pendaftaran sebagai penderma organ kebangsaan Malaysia. Apabila penderma organ meninggal dunia, organnya, termasuk ginjal, akan dituai dan dipindahkan mengikut senarai menunggu pemindahan organ nasional.
“Kaedah ini tidak diarahkan dan penerima buah pinggang akan diputuskan berdasarkan senarai menunggu pemindahan buah pinggang nasional yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan dan ditransplantasikan di kemudahan kerajaan,” katanya.
Ujar Dr. Yew, bagi kaedah kedua bermakna penderma terlebih dahulu harus harus menjalani pemeriksaan perubatan yang ketat dan memastikan penderma adalah sihat dan cergas untuk menjalani nefrektomi (pembedahan membuang salah satu buah pinggang).
Ini adalah dengan jaminan bahawa penderma akan tetap sihat dengan baki ginjal selebihnya kehidupan mereka.
“Di Malaysia, disebabkan senarai untuk ginjal mayat (ginjal didermakan dengan kaedah pertama) adalah lama, maka pendermaan ginjal hidup pasti merupakan kaedah terpantas dan paling dipercayai untuk meneruskan pemindahan buah pinggang.
“Sudah tentu, kaedah ini selalu melibatkan ahli keluarga atau pasangan sebagai penderma. Oleh itu ia dipanggil sebagai ‘pendermaan buah pinggang hidup-hidup’,” katanya.
Pada masa ini, pendermaan buah pinggang secara hidup yang tidak melibatkan kaum sekeluarga boleh dilakukan, tetapi tertakluk kepada wawancara dan persetujuan jawatankuasa bebas ditubuhkan Kementerian Kesihatan.
PEMERIKSAAN BERTERUSAN
Antara persoalan sering ditanya ialah mengenai bagaimana pemindahan buah pinggang mengubah gaya hidup pesakit?
Ujar Dr. Yew, selepas pemindahan buah pinggang yang berjaya, pesakit akan mempunyai ginjal ‘berfungsi sepenuhnya secara biologi’ di dalam badan. Buah pinggang tersebut boleh melaksanakan semua tugas yang dikaitkan dengan ginjal.
“Kebanyakan penerima transplantasi ginjal boleh terus menjalani gaya hidup yang sihat dan aktif. Contohnya penyanyi terkenal Selena Gomez. Beliau contoh pesakit transplantasi ginjal yang kini dilihat sihat dan terus ceria,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya, semua pesakit transplantasi ginjal perlu meneruskan pemeriksaan berterusan dan perlu mengambil ubat-ubatan tertentu.
“Pemeriksaan bertujuan mencegah penolakan organ kerana ginjal yang dipindahkan mempunyai asal genetik yang berbeza dan penerima organ boleh menolak organ tersebut sekiranya sistem imun tubuh salah anggap bahawa organ ‘baharu’ tersebut adalah pelawat badan yang tidak diingini.
“Ubat dan pengawasan mungkin diperlukan untuk mencegah ginjal yang ditransplantasikan gagal secara beransur-ansur kerana penyakit asal yang telah menyebabkan kegagalan tahap akhir pada pesakit sejak awal, bergantung pada keadaan perubatan pesakit itu sendiri.
“Namun tidak ada sekatan gaya hidup khusus yang dikenakan kepada penerima transplantasi ginjal yang berjaya. Kecuali keperluan mengambil ubat seperti biasa secara berkala dan menjalani gaya hidup sihat seperti orang lain,” kata Dr. Yew.
Sifat pemindahan buah pinggang adalah mengambil satu ginjal daripada orang yang sihat dan pakar mesti memastikan kejayaan buah pinggang tersebut apabila dipindahkan kepada pesakit.
Justeru kerumitan di sebalik dua operasi ini memerlukan perancangan teliti dan menjaga keselamatan kedua-dua pihak.
Ia melibatkan latihan dan pendedahan berpanjangan dalam bidang pemindahan buah pinggang. Program pemindahan buah pinggang yang berjaya di mana-mana institusi memerlukan rekod prestasi yang baik.
SELEPAS PEMBEDAHAN
Sementara itu, Pakar Perunding Urologi, Mahkota Medical Centre, Dr. Koh Eng Thye berkata, pembedahan penderma biasanya mengambil masa sekitar tiga hingga empat jam.
Kata beliau, umumnya pesakit dibenarkan pulang ke rumah pada hari ketiga atau keempat selepas pembedahan.

Terapi yang lebih lanjut tidak diperlukan untuk penderma. Sebaliknya mereka disaran meneruskan kehidupan normal tanpa sekatan pengambilan cecair.
Bagi pembedahan penerima prosedur ini mengambil masa sekitar tiga hingga empat jam.
Selepas pembedahan, penerima akan ditempatkan di bawah unit rawatan rapi (ICU).
Pengurusan cecair intensif diperlukan untuk mengatasi kemungkinan ketidakseimbangan bendalir dan elektrolit.
“Pesakit mungkin memerlukan masa selama beberapa hari sebelum dipindahkan ke wad biasa. Penerima akan dipantau dengan teliti untuk kemungkinan penolakan organ. Biasanya fungsi ginjalnya akan bertambah baik,” katanya.
Ketidakseimbangan cecair dan elektrolitnya perlu diperbetulkan secara agresif.
Sebilangan pesakit boleh mengeluarkan air kencing hingga 20 liter sehari selama beberapa hari selepas pembedahan.
“Sekiranya fungsi ginjal untuk beberapa sebab gagal diperbaiki, langkah segera akan diambil untuk memastikan tidak ada penolakan organ walaupun terdapat imunosupresi yang mencukupi. Ini biasanya dilakukan oleh biopsi buah pinggang,” jelasnya.

PAKAR TERLATIH
Dr. Koh berkata, pakar terlatih dalam program seperti ini terbukti akan menjadi pakar bedah transplantasi yang terkenal.
Ada dua pasukan pembedahan dalam pemindahan buah pinggang iaitu pasukan pengambilan penderma dan pasukan penerima buah pinggang.
Pembedahan untuk kedua-dua operasi boleh dilakukan serentak atau berturutan.
“Berturutan bermaksud pembedahan buah pinggang penderma akan dilakukan terlebih dahulu.
Seterusnya, hanya pembedahan penerima bermula. Dalam keadaan ini, kedua-dua pakar bedah penderma dan penerima hanya boleh terdiri daripada satu pakar bedah.
“Bagaimanapun, di Malaysia, kita mempraktikkan kaedah serentak di mana dua pakar bedah transplantasi dan melibatkan dua panggung operasi secara serentak,” katanya yang menjelaskan pertemuan pasukan multidisplinari (MDT) mengenai kes transplantasi dilakukan beberapa minggu sebelum tarikh pembedahan dijadualkan.
“Semua kakitangan dan doktor yang terlibat dikehendaki hadir. Segala masalah dan komplikasi yang mungkin dihadapi akan dibincangkan,” katanya.
Pada hari pembedahan semua masalah dan komplikasi yang mungkin berlaku, diperhatikan.
“Langkah diperlukan diambil kira agar ginjal yang diambil itu dapat segera berfungsi sebaik sahaja pembedahan selesai dijalankan,” kata Dr. Koh.
Hemodialisis:
» Adalah proses membuang toksin dan lebihan air dari darah, dengan mengedarkan darah pesakit melalui mesin hemodialisis. Pesakit memerlukan akses untuk darah keluar dan masuk semula ke dalam badan.
» Fistula arteriovenous (sambungan yang dibuat secara artifisial antara arteri dan vena, untuk membesar dan mengeraskan urat, mempersiapkannya untuk menahan lebih banyak tusukan jarum biasa) terletak di lengan atau kateter hemodialisis terletak di leher atau dada.
» Pesakit perlu lakukan tiga kali seminggu, dengan setiap sesi berlangsung lebih empat jam.
Dialisis peritoneal:
» Proses membuang toksin yang tidak diperlukan atau lebihan cairan dari pesakit yang mengalami kegagalan ginjal tahap akhir. Ini dilakukan dengan mengisi cecair dialisis peritoneal khas ke ruang peritoneal pesakit (rongga dalam perut).
» Setelah cecair masuk ke dalam badan sekitar 6 jam, cecair itu akan dibuang. Pada masa sama cecair dialisis peritoneal yang baru akan dimasukkan pula.
» Pertukaran cecair secara berkala ke dan dari peritoneum, membolehkan toksin dan lebihan air keluar dari badan melalui membran peritoneum ke dalam cairan dialisis peritoneum.










