TEMERLOH: Banjir yang melanda daerah Mentakab di sini disifatkan penduduk sebagai terburuk hingga banyak rumah penduduk ‘hilang’ ditenggelami air.
Banjir luar biasa yang menenggelamkan bandar Mentakab itu juga turut menyebabkan rumah penduduk jenis dua tingkat hanya nampak bumbung.
Selain itu, banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun itu turut menyebabkan terdapat dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dinaiki air hingga memaksa mangsa berpindah ke PPS lain.
Difahamkan dua PPS berkenaan ialah PPS Sekolah Rendah Sultan Abu Bakar Mentakab dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mentakab.
Penduduk Kampung Batu Kapor, Rosedi Othman,68, berkata, banjir kali ini begitu teruk sehingga menyebabkan rumahnya dan penduduk kampung lain ‘hilang’ akibat ditenggelami air.
Katanya, arus deras turut menyebabkan rumah rosak teruk hingga ada yang dibawa arus dan tersangkut pada pokok.
“Ada jiran yang menaiki bot memberitahu rumah saya dan banyak rumah penduduk dibawa arus deras malah ada rumah yang tersangkut pada pokok.
“Sebelum ini termasuk banjir awal tahun kebiasaan seminggu banjir akan melanda tetapi dengan keadaan luar biasa ini saya risaukan ia akan mengambil masa lebih lama surut,” katanya.
Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Tze Chiang berkata, pada masa ini terdapat dua PPS utama menempatkan penduduk setempat yang terjejas iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa dan SMK Seri Semantan.
Jelasnya, keadaan agak padat pada masa ini selepas mangsa di PPS yang dinaiki air dipindahkan ke dua PPS tersebut.
“Berdasarkan rondaan menaiki bot juga saya mendapati hampir keseluruhan bandar Mentakab tenggelam dan air begitu tinggi sehingga menenggelamkan bumbung rumah,” katanya.
Kelmarin, kejadian banjir di negeri ini semakin buruk seakan mengulangi tragedi banjir besar 1971 apabila bandar Mentakab di sini ditenggelami air.
Ketika banjir besar 2014 hanya kampung-kampung berhampiran sahaja ditenggelami air namun kali ini bandar itu turut dilimpahi air seperti lautan.
Sementara itu Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Temerloh, Mohd. Ikram Haron berkata, keadaan air banjir di sekitar bandar Mentakab pada masa ini adalah statik dan bertahan. – UTUSAN ONLINE










