Banjir : 35 maut, 8 dikhuatiri hilang di tiga negeri - Utusan Malaysia

Banjir : 35 maut, 8 dikhuatiri hilang di tiga negeri

MANGSA banjir membersihkan halaman kediaman mereka, selepas banjir melanda Seksyen 25 Sri Muda, Shah Alam, Selangor, Sabtu lalu. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Sebanyak 35 maut dan lapan lagi dikhuatiri hilang dalam insiden banjir yang melanda tiga negeri sejak Jumaat lalu.

Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan kematian tertinggi apabila sebanyak 23 individu ditemukan maut iaitu terdiri 15 lelaki dan lapan wanita dewasa.

Memberitahu Utusan Malaysia, SAC Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner M.V Sri Kumar berkata, sebanyak 11 lagi kematian direkodkan di Pahang iaitu tujuh lelaki dan empat wanita dewasa.

Diikuti, sebanyak satu kematian direkodkan di Terengganu membabitkan seorang lelaki dewasa.

“Berdasarkan rekod yang diperolehi juga, sebanyak lapan lagi mangsa banjir dikhuatiri hilang membabitkan kejadian di Pahang. Mereka yang hilang terdiri empat lelaki dewasa, wanita dewasa (dua orang) dan kanak-kanak (dua orang).

“Usaha mencari dan menyelamat mangsa yang hilang giat dijalankan dan jumlah mereka akan dikemas kini dari masa ke semasa,” katanya di sini semalam.

Mengulas lebih lanjut, kata Sri Kumar, kebanyakan mangsa terlibat ditemukan maut selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba meredah jalan banjir dan ada sebahagian ditemukan terperangkap di dalam kenderaan dan kediaman milik mereka.

Terdahulu, mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang terus mencatat peningkatan manakala lima negeri lain termasuk Selangor menunjukkan penurunan, malam tadi.

Di Pahang, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 42,272 mangsa banjir ditempatkan di 280 PPS malam ini, berbanding 41,455 orang yang berada di 278 PPS petang tadi.

Daerah di negeri itu yang dilanda banjir juga masih kekal sembilan iaitu Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Sementara itu, laluan di dua lebuh raya utama Pahang yang dinaiki air iaitu di Bentong ke Karak bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lanchang ke Temerloh di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) masih tidak boleh dilalui kenderaan di kedua-dua hala, menurut Lebuhraya Pantai Timur menerusi catatan di Facebook.

Di Selangor, berdasarkan aplikasi Info Bencana JKM menunjukkan penurunan 2,872 mangsa banjir iaitu 23,375 orang malam ini berbanding 26,247 orang petang semalam.

Malah, jumlah PPS yang beroperasi juga berkurangan kepada 128 PPS setakat ini berbanding 134 PPS, pada 4.30 petang semalam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×