Kempen amal bantu kanak-kanak kembali ke sekolah - Utusan Malaysia

Kempen amal bantu kanak-kanak kembali ke sekolah

Keutamaan diberikan kepada keluarga dengan anak yang bakal memulakan persekolahan tahun satu pada 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kejerihan ibu tunggal dalam menguruskan keluarga bersendirian semakin meruncing ketika pandemik Covid-19.

Lebih 150,000 ibu tunggal mendaftar untuk mendapatkan bantuan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kajian mendapati golongan ibu tunggal amat terkesan ketika pandemik ini memandangkan mereka merupakan individu utama punca pencarian, di samping memastikan kebajikan keluarga terus terpelihara.

Bagi golongan ibu tunggal yang terkesan secara kewangan, musim kembali ke sekolah boleh menjadi tempoh yang sukar kerana mereka perlu mendapatkan keperluan bagi anak-anak bersekolah dengan perbelanjaan yang terhad.

Menyedari keperluan ini, kempen kutipan amal Cerahi Kehidupan Bersama TOP (Brighter Future with TOP) kini kembali dengan lebih baik dan besar melalui kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), AEON, dan Shopee.

Kempen ini bermatlamat untuk memenuhi keperluan persekolahan bagi 333 kanak-kanak daripada keluarga ibu tunggal bagi tahun persekolahan 2022.

JKM telah menyenarai pendek penerima bantuan kanak-kanak yang terdiri daripada keluarga ibu tunggal yang kini menerima bantuan daripada pihaknya. Malah turut menyenaraikan mereka yang menjadi penjaga bagi ahli keluarga yang terlantar sakit atau golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Bagaimanapun keutamaan diberikan kepada keluarga dengan anak yang bakal memulakan persekolahan tahun satu pada 2022.

Jenama menghubungi ibu tunggal ini untuk mendapatkan butiran berkenaan saiz pakaian dan barangan keperluan bagi 333 kanak-kanak terlibat.

Sebahagian daripada jualan produk sabun pencuci TOP tertentu di seluruh rangkaian AEON dan platform Shopee (melalui kedai rasmi Southern Lion) mulai 25 November hingga 26 Disember 2021 akan disalurkan untuk kelengkapan 333 pelajar sekolah rendah ini.

Jenama akan menghantar pek peribadi kembali ke sekolah ini kepada JKM di 12 negeri untuk diedarkan kepada keluarga ibu tunggal terpilih pada tahun depan, sebelum sesi persekolahan yang baharu bermula.

Sejak dimulakan pada tahun 2015, kempen ini menyumbang keperluan persekolahan kepada 2,880 pelajar daripada 85 komuniti di seluruh negara, selain sumbangan berupa sabun pencuci TOP kepada penjaga dan keluarga.

Bersempena kempen kembali ke sekolah, jenama itu memperkenalkan sabun pencuci cecair TOP Gentle Care Advanced Micro-Clean Tech yang boleh menghilangkan 99.9% virus (COVID-19 dan Influenza A) dan bakteria.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×