‘Pancung’ budaya salah laku - Utusan Malaysia

‘Pancung’ budaya salah laku

MOHD. Sidek Hassan (kiri) ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, Maisarah Sheikh Rahim dan Maszureen Hadzman (kanan) di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

JANGAN takut buka pekung di dada. Itu penegasan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), TAN SRI MOHD. SIDEK HASSAN kepada 21 agensi penguat kuasa di bawah seliaan suruhanjaya itu untuk lebih terbuka mendedahkan isu salah laku membabitkan warga kerja mereka.

Dalam hal ini, setiap ketua jabatan diingatkan tidak sekali-kali menyembunyikan sebarang salah laku setiap anggotanya dan tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

Malah, tegas beliau kepada wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan MASZUREEN HADZMAN bersama jurufoto FAISOL MUSTAFA di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini, beliau mahu ia menjadi pengajaran dan menimbulkan rasa takut kepada mana-mana anggota penguat kuasa daripada melakukan salah laku.

“Namun begitu, setiap kesalahan yang diadukan perlulah berasas dan melalui proses siasatan yang telus serta adil agar tidak melakukan penganiayaan terhadap mana-mana pihak,” katanya yang diberi tanggungjawab mengemudi suruhanjaya itu sejak Julai, tahun lalu.

UTUSAN: Adakah setiap dakwaan salah laku penguat kuasa termasuk yang tersebar di media sosial disiasat?
MOHD. SIDEK: EAIC ditubuhkan melalui Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) berkuat kuasa 1 April 2011. Akta ini sangat spesifik, hanya meliputi 21 agensi penguatkuasaan. Apabila ada aduan, kita buat siasatan berdasarkan akta ini dan melakukan beberapa susulan.

Ada juga kes yang diutarakan, tidak perlu buat aduan pun ada. Jika kes itu ada ‘kes’ dan bersifat kepentingan umum, kita ambil tindakan, Macam kes Alvin Goh, kita ambil kes itu walaupun tiada aduan kerana kes berkenaan nampak ada kredibiliti. Kalau kes remeh-temeh, kita tidak ambil sebab kita hanya ada pegawai 78 orang, pegawai siasatan ada 21 orang. Jadi, kita kena pilih.

Dalam Seksyen 28 Akta 700, memang ada dinyatakan kita boleh ambil tindakan kalau timbul perkara yang memberi signifikan kepada orang ramai atau ada kepentingan awam. Kalau kes itu viral sekali pun, kita boleh mulakan siasatan di bawah Seksyen 28 selagi ada signifikan.

Apa perkembangan siasatan Tan Sri Abdul Hamid Bador?
Dakwaan beliau berhubung wujud kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang disiasat. Kita tengah lakukan siasatan itu. Bagaimanapun, kita tidak boleh cakap ada atau tidak ada (kes). EAIC tidak boleh berat sebelah, kena terbuka. Kebetulan kita dah berjumpa Tan Sri Hamid, dapatkan maklumat daripada beliau dan lain-lain pihak untuk memastikan siasatan kita menyeluruh, lengkap dan komprehensif.

Jadi, sudah ada pertemuan EAIC dengan Tan Sri Hamid?
Ada. Buat masa ini baharu sekali (jumpa) sebab beliau pun sibuk.

Ada tindakan atau cadangan EAIC kepada PDRM berhubung perkara ini?
Laporan belum siap dan tidak lengkap lagi. Masih dalam siasatan.

Ada blog memetik pegawai kanan PDRM terlibat rasuah. Mereka memetik kenyataan Twitter EAIC dan mendakwa EAIC sengaja mendiamkan diri apabila ada pendedahan tetapi tidak ada tindakan, seolah-olah memejam mata. Benarkah?
Saya tidak cuba pejam mata atau tipu. Falsafah saya, kalau kamu buat sesuatu itu biar betul dan lengkap. Jadi, EAIC kena jaga integriti agensi-agensi penguatkuasaan di bawah seliaannya. Kedua, kita punya peruntukan tahunan RM7 juta dengan keupayaan staf keseluruhan ada 78 orang sahaja termasuk pemandu. Jadi, dengan jumlah banyak itu, dengan had sedemikian dan pada masa sama memastikan sumbangan kita pada negara, jadi kamu kena pilihlah.

Contohnya, kalau ada orang keluar cerita pasal Alvin Goh umpamanya, ini penting kerana melibatkan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jadi kita masuk (siasat).

Tapi kalau ada cerita kata ada anggota penguat kuasa pukul isteri dia dalam kereta dan ada aduan kepada EAIC, maka kita siasatlah, Namun, kalau tular sahaja, tak perlu siasat. Oleh itu dengan mengambil kira kekangan EAIC, patutkah kita ambil semua benda yang tular untuk disiasat? Melainkan kalau ada kes spesifik, kalau bersifat tuduhan sahaja kita tidak ambil.

Bagaimana EAIC menilai setiap aduan?
Kalau kes itu rasuah, maka serahkan kepada SPRM. Kalau bidang kuasa polis pula dan polis sudah buat siasatan, buat apa kita masuk?

Contohnya kes Alvin, kita menyiasat isu meloloskan diri dari SPRM. Itu sahaja aduan kita siasat. Selain itu, bukan di bawah siasatan kita. Kita hanya siasat isu lolos dari bangunan SPRM melibatkan polis yang berada di premis terbabit semasa berlaku kejadian.

Kalau isu salah guna kuasa, di bawah SPRM, bukan EAIC. Siasatan Alvin sudah selesai dan EAIC sudah buat kenyataan media tahun lepas.

Banyak pihak salah tanggap sesuatu laporan yang dibuat mengambil masa lama untuk diambil tindakan. Komen?
Orang awam tak faham. Polis mengendalikan terlalu banyak kes sedangkan dia baru buat laporan bulan Januari, contohnya. Pada Mac, dia datang mengadu kepada EAIC kata polis tidak ambil tindakan. Orang awam sepatutnya perlu bertimbang rasalah.

Bagaimanapun, kalau kita dapat aduan, setiap aduan kita terima dan kena siasat. Jadi, kita siasat dengan polis, panggil pegawai penyiasat (IO). Ada antaranya IO kata sudah buat siasatan dan rekod kenyataan. Mungkin setiap tindakan polis, pengadu nak polis maklumkan perkembangan (siasatan).

Namun, jika ada asas kepada aduan, kita syor kepada suruhanjaya apa tindakan diambil terhadap polis tersebut.

Kalau ada kesalahan, apa tindakan ke atas pelaku?
Tengok kesalahan yang kita siasat. Kalau dia kes saringan, kita bagi amaran, bergantung peraturan tata tertib. Ada beza, di bawah akta, EAIC hanya boleh buat syor tetapi keputusan terserah kepada pihak berkuasa tatatertib (PBT) agensi terlibat.

Tetapi dalam kita mengesyorkan pun, kena ikut peraturan juga. Kalau waran amaran, kita syorkan amaran seperti sekat gaji, emolumen, buang kerja dan sebagainya mengikut kes masing-masing tapi terserah pada PBT.

Kebiasaannya, mereka ikut syor tindakan EAIC kerana kita ada hubungan baik dengan agensi seperti polis yang mana kita ada perjumpaan berkala dengan polis. Mereka juga perlu melaksanakan syor EAIC tersebut.

Apa keupayaan EAIC untuk pantau agensi?
Dalam akta, antara fungsi EAIC selain menjalankan siasatan terhadap aduan diterima, kita buat sesi libat urus bersama agensi di bawah kami untuk penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) masing-masing atau apa sahaja isu yang membelenggu agensi di bawah seliaan kami sebagai platform untuk ambil tahu masalah mereka.

Pada pandangan Tan Sri, integriti dalam kalangan penguat kuasa berada pada tahap mana?
Saya kata serius. Kalau tak kata serius, bermakna ada yang tidak kena. Sebagai contoh, kalau baca laporan Ketua Audit Negara, memang berlaku (salah laku). Ini secara general integrity. Kalau baca laporan SPRM pun banyak. Jadi, memang ada (kes) dan serius.

Keduanya, adakah saya bimbang? Ya, saya bimbang. Sebagai Pengerusi EAIC mengambil kira juga saya sebagai bekas penjawat awam dan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), saya memang bimbang bila isu integriti dibangkitkan dan ia benar berlaku.

Ketiga, saya bimbang kalau orang tak bimbang perilaku sebegini. Kalau orang anggap isu ini biasa-biasa sahaja, maka saya bimbang. Tetapi kalau dibangkitkan sebagaimana dalam laporan ketua audit, menteri-menteri bimbang, SPRM pun buat kenyataan, maka nampak ada kebimbangan.

Makna kata, kita serius tentang ini untuk menangani isu ini. Saya hanya bimbang kalau semua buat tidak kisah sehingga menjadi kelaziman pula.

Hakikatnya, segala tindakan kena ikut undang-undang, tidak bolehlah ada kes sahaja terus tembak. Tak boleh buat sebegitu, perlu ikut undang-undang dan perlu melalui proses.

Isu tangkapan penguat kuasa memberi kesan buruk nama agensi. Komen Tan Sri?

Sebab itu agaknya ramai ketua jabatan mahu diam-diam jika ada kes, kononnya bila terdedah nanti susah dan malu. Kenapa kita perlu bertindak sebegitu (sembunyikan)? Kalau ada penjawat awam di EAIC buat ‘nakal’, kami orang pertama akan buat laporan kepada SPRM dan ambil tindakan.

Walaupun kita agensi integriti, kita perlu ambil tindakan kepada mereka yang bersalah. Maknanya kita beri mesej bahawa orang ramai tidak harus bimbang, kita ambil berat isu ini. Tiada tempat untuk mereka yang buat salah dalam organisasi.

Bagaimanapun, orang awam perlu bersikap adil, jangan tembak semua pegawai penguat kuasa bermasalah. Kalau betul sahih, kita ambil tindakan. Kalau semua ketua jabatan bersikap macam itu, maka tak perlu lagi ada SPRM. Dan SPRM kerja dia hanya pantau dan beri penerangan sahaja.

Jadi, bermaksud ketua jabatan perlu memainkan peranan, ambil tindakan jika ada kesalahan, jangan sorok. Ada orang fikir nak sorok sebab malu sedangkan lagi kita dedahkan, lagi naik reputasi.

Orang akan kata kita boleh percaya dia ini sebab dia akan ambil tindakan terhadap orang-orang dia. Dia sendiri (ketua jabatan) ambil tindakan, bukan polis atau SPRM. Bina budaya itu. Self policing lebih praktikal kalau kita buat secara dalaman berbanding kita biarkan tanpa ambil tindakan. Walaupun isu itu kecil, kena ambil serius, sekurang-kurangnya ada tindakan diambil oleh ketua jabatan. Kalau kawal selia sendiri agensi, tak perlu pun ada EAIC.

EAIC pernah terima laporan daripada mana-mana individu selepas aduan dibuatnya kepada agensi terbabit tidak dilayan?
Ada banyak seperti itu. Contohnya, bila buat laporan polis, mereka mendakwa tidak ada tindakan. Tetapi bila kita buat siasatan, sebenarnya tindakan sudah diambil. Mungkin ada kelewatan atau terlalu cepat (pengadu) nak perkembangan daripada polis.

Bukan kita nak pertahankan polis, tetapi polis perlu utamakan mana kes yang penting dahulu untuk diselesaikan walaupun bagi kita kes yang kita lapor itu penting. Cuba letakkan diri kita di tempat polis. Masyarakat yang buat aduan jangan nampak hanya kesalahan kecil nak hentam polis.

EAIC akan melihat mana aduan yang betul-betul boleh diambil tindakan. Setiap aduan kita terima akan melalui jawatan kuasa yang duduk setiap hari untuk tengok di bawah Seksyen 26 sama ada aduan tersebut masuk di bawah lingkup Akta 700 atau aduan bersifat remeh, tidak suci hati.

Contoh aduan remeh ialah polis tengking atau menaikkan suara kepada pengadu. Mungkin aduan mereka itu berniat tertentu, atau aduan terlalu kecil, tidak memerlukan EAIC untuk siasat.

Bagaimana membanteras budaya salah laku dalam setiap agensi?
Budaya macam ini kita kena ‘pancung’, menunjukkan kita serius. Pertama, orang yang ‘nakal’ sudah tidak ada. Keduanya yang lagi penting, mana-mana kakitangan yang masih bekerja akan takut untuk buat salah.

Kita tidak boleh tukar (orang bermasalah) ke tempat lain kerana orang yang jahat akan jahat juga, dia akan jahat di tempat lain. Jangan tukar, kena ‘bunuh’ dia. Tetapi kena tengok betul-betul ikut undang-undang, bukan sewenang-wenangnya ‘bunuh’ orang itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×