Melayuku tidak akan ‘dimalaskan’ - Utusan Malaysia

Melayuku tidak akan ‘dimalaskan’

KITA mengamalkan Dasar Pandang ke Timur sejak empat dekad lalu dengan anggapan negara dan budaya Jepun lebih baik dan sesuai berbanding Barat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU kita rujuk dengan dekat himpunan peribahasa dan simpulan bahasa Melayu, malah puisi dan pantun juga, agak sukar untuk memutuskan orang Melayu sebagai satu rumpun bangsa yang tidak mempunyai nilai budaya positif tersendiri. Misalnya, kata-kata hikmah, jika tidak pecahkan ruyung, mana nak dapat sagunya. Atau, belakang parang lagi diasah akan tajam jua.

Masing-masing membawa nasihat yang amat positif sebagai pedoman dan panduan hidup sejahtera. Bahkan mendorong kepada kerja kuat dan berhemah agar tidak malas atau alpa, tidak sekali-kali.

Apa lagi jika direnung pula, terkilat ikan di air sudah tahu jantan betinanya, yang menunjukkan betapa cerdasnya penelitian pancaindera serta minda seseorang itu sejak dahulu kala lagi tanpa bergantung kepada apa-apa teknologi canggih atau moden!

Semua ini meyakinkan semula betapa bangsa ini sejak berzaman-zaman lagi sudah memupuk nilai yang tinggi sifatnya, bukan untuk sehari dua tetapi buat selamanya. Ia mempunyai nilai hikmah tersendiri sekali gus bermanfaat turun-temurun sekiranya diambil sebagai amal, sebagai ilmu yang diilhamkan. Ia bukan sekadar norma baharu tetapi yang dibina merentas masa serta zaman.

Kata-kata peringatan seperti kerana nila setitik, rosak susu sebelanga, mahupun nasi sudah menjadi bubur, menekankan agar kita berwaspada serta hati-hati dalam melakukan atau memperkatakan sesuatu. Jangan celupar supaya tidak menyesal atau rugi besar kemudian hari.

Jangan terantuk baru tergadah, satu lagi peringatan tepat supaya menjaga tatasusila terlebih dahulu agar tidak turut membawa kepada keruntuhan bukan sahaja moral tetapi pegangan adab serta tradisi bangsa yang luhur. Keterlanjuran ini sering kelihatan berlaku dewasa ini dan di mana sahaja, baik di Parlimen sekalipun. Seolah-olah sudah tidak lagi bertamadun dan beradab resam yang tinggi sifatnya.

Orang-orang seperti ini boleh dikatakan bagai kacang lupakan kulit, atau kaduk naik junjung. Yakni tidak pandai mengenang budi, apa lagi membalas budi. Mereka lupa daratan. Lebih ramai lagi terpalit dengan tabii lebih teruk melalui media-media yang tiada garis etika rapi atau jelas sehingga dapat mengubah sifat murni bangsa mereka.

Utama daripada faktor pengubah ini adalah penjajahan pemikiran atau minda yang kontang nilainya. Meskipun penjajah telah lama dihalau, namun kesannya kepada jati diri kita sebagai anak watan masih subur dan segar khususnya dalam memomokkan bangsa tempatan. Bak huraian Allahyarham Profesor Datuk Dr. Syed Hussein Alatas tentang mitos pribumi yang malas – yang sering diulang-ulang oleh kuncu-kuncu penjajah dalam menegakkan benang basah. Mereka sewajar menelaah semula khazanah penulisan para pejuang tulen dahulu kala yang rajin dan berani.

Ini bukan bermakna tidak ada yang malas. Semua bangsa ada golongan begitu. Dalam kalangan penjajah pun ada ramai jika kita ke negara ibunda mereka baik sekarang ini pun. Mereka duduk meminum arak seharian mengomong kosong.

Apa lagi bagi generasi muda yang hidup serba mewah dengan berbagai prasana tanpa merasai pahit maung kehidupan sebenarnya. Ini kita akui tatkala Malaysia mengamal Dasar Pandang ke Timur sejak empat dekad lalu atas anggapan negara dan budaya Jepun lebih baik dan sesuai berbanding Barat.

Tetapi ini tidak pula bermakna orang Jepun tiada kumpulan pemalasnya – mungkin bilangan tidak ketara. Mereka juga turut mengeluh tentang generasi baharu Jepun yang tidak lagi sekental dahulu. Malah ramai mengidam ke negara Barat, khususnya Amerika Syarikat (AS) yang menjiwai budaya Coca-Cola, sungguhpun Jepun lebih maju dalam banyak hal lain. Tetapi ketiadaan Coca-Cola sebagai simbol kemajuan tersendiri meracuni pemikirannya.

Dalam hal ini, sayugia diingatkan, bangsa dan negara Jepun tidak dijajah Barat secara langsung walaupun ada percubaan terhadapnya. Nukilan Madame Butterfly menceritakan hal ini tetapi pengaruh budaya dan nilai Jepun terus dapat berperanan.

HARGA DIRI
Dari segi lain, kita tidak sangka pengaruh gerakan mutu di Jepun dipelopori oleh seorang pakar AS yang mereka kenal pasti. Namun begitu, konsep dan pembudayaannya ‘di-Jepunkan.’ Istilah kaizen umpamanya mengambil makna Jepun dan tidak cedok atau diterjemah daripada bahasa asing. Ini jelas menunjukkan bahasa Jepun mempunyai jati diri tersendiri.

Harga diri bangsa mereka tinggi diasak oleh rasa dan sifat malu yang mendalam bagaimana bangsa kita suatu ketika dahulu tetapi tidak kesampaian sepertimana rakyat Jepun.

Amalan bangsa Jepun terus kekal dan cekal berbeza dengan kita. Banyak istilah tempatan kita diketepikan kerana ingin menjadi moden ala Barat. Maka ‘mutu’ berubah sekelip mata menjadi ‘kualiti’, ‘belanjawan’ ‘dibajetkan’ dan sebagainya. Kita sendiri menjajah bahasa dan budaya kita tanpa banyak perhitungan. Maka tidak perlu lagi penjajah seperti dahulu kala. Putrajaya sahaja mempunyai banyak contoh yang bukan-bukan. Kini Kuala Lumpur dan bandar raya lain sudah mula dijangkiti.

Ringkasnya, ejen-ejen penjajahan kulit sawo matang bertaburan – anehnya tidak kurang dalam kalangan terpelajar (bukan terdidik) serta memegang tampuk kuasa serta politik juga ala Barat! Mereka tidak pandai berbudi lagi, tidak pula beradab, apalagi roh. Ini diganti dengan tabii buli, biadab serta kontang jiwa nilai budayanya. Malu terus dipergadaikan seperti gelagat beberapa politikus yang kemaruk kuasa dan nama.

Rasuah terang-terangan bermaharajalela dan politik ‘wang pelincir’ untuk mengemis kuasa dan benda tanpa malu. Rakyat dijadikan mangsa percaturan mereka sehingga lumpuh bertongkat politik durjana sampailah hari ini. Sekali gus menodai amalan beradab, berbudi dan maruah diri yang kini boleh dijual beli dengan murah.

Bertambah lagi apabila dirasuk berbagai teknologi yang juga turut kontang pembikinannya dalam bentuk kecerdasan buatan (AI) dan 5G mutakhir ini, misalnya. Berebut-rebut mejuarai tanpa menghalusi kesan tersirat bukan hanya tersurat yang kesudahan memakan diri sebagai alat penjajahan sehalus koronavirus.

Pendek kata, kemalasan semua ini melesukan bangsa keseluruhan atas ketamakan sendiri dan segelintir musuh dalam selimut. Melainkan jika ada mereka yang kental dan tidak dapat ‘dimalaskan’ oleh siapa sahaja, tersirat atau tersurat. Insya-Allah.

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×