KESENIAN Mek Mulong adalah salah satu daripada rangkaian teater tradisional masyarakat Melayu yang hanya wujud di negeri Kedah sejak lebih 400 tahun lalu.
Persembahan Mek Mulong berasal dari Kerajaan Melayu Ligor dan diperkenalkan ketika berlaku persengketaan antara Kedah dan Siam.
Warisan budaya itu mula bertapak di Kampung Perik, Mukim Kurung Itam, Kuala Nerang sebelum berkembang ke Kampung Belukar Mulong, Kampung Paya Keladi dan akhirnya di Kampung Wang Tepus, Jitra.
Mek Mulong merupakan satu adunan kesenian yang menggabungkan unsur-unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik dalam suatu persembahan yang mengekalkan ciri-ciri tradisional bertunjangkan sejarah silam serta penggunaan dialek atau loghat Kedah Tua.
Bagaimanapun, persembahan tradisional itu didapati semakin kurang dikenali dan terpinggir kerana tidak ramai penggiat atau pengkaji meneruskan tradisi persembahannya.
Malah kebanyakan masyarakat setempat dan rakyat Kedah sendiri tidak sinonim dengan teater tradisional ini kerana ianya terbatas kepada pewaris serta pencinta seni dan budaya sahaja.
Kumpulan Mek Mulong yang wujud di Kampung Wang Tepus, Jitra yang merupakan pewaris terakhir kini terdiri daripada golongan warga emas serta sudah tidak mampu untuk meneruskan persembahan yang dahulunya diadakan secara tahunan.
TERKUBUR DEK TUA
Terdapat juga segelintir daripada tokoh ini telah meninggal dunia menyebabkan seni tradisi yang diwarisi dari generasi ke generasi ini kurang sumber rujukan dan data bertulis yang sahih.
Sehubungan itu, Pusat Budaya dan Seni (PBS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok merancang mengangkat dan memartabatkan kembali keseniaan Mek Mulong sebagai sebuah karya agung dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Dalam merealisasikan hasrat tersebut, PBS UUM mengambil tanggungjawab menjalankan kajian dan penerbitan akademik khusus.
Ia bagi menghasilkan satu modul penyelidikan yang komprehensif agar kegusaran tentang warisan ini dapat digemblengkan menjadi satu struktur pembelajaran seni yang tersusun dalam kalangan generasi muda.
Modul seni persembahan teater tradisional Mek Mulong yang seragam dan dokumentasi sahih itu akan menjadi rujukan bertauliah buat para penggiat bagi meneruskan persembahan tradisional ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. Pengarah PBS UUM, Asmawiza Hussin berkata, Mek Mulong adalah satu warisan tidak ketara kemanusiaan (Intangible Cultural Heritage of Humanity). Dulu, ia dipelopori oleh golongan tua dan berusia. Begitupun ia kini kian terkubur kerana tokoh-tokoh lama telah ramai meninggal dunia.
Menurutnya, usaha diambil oleh PBS UUM ini demi kelangsungan budaya yang satu-satunya wujud di Jitra, Kedah. Ia selari dengan hasrat menjadi Hab Kebudayaan Utara 2021-2025 untuk memelihara serta memulihara warisan kesenian tradisi zon utara.
Katanya, PBS UUM ingin menjadikan seni tradisional itu kembali dikaji, dihargai, dipelajari dan dipersembahkan generasi muda agar warisan ini tidak hilang ditelan zaman.
“Sehubungan itu, PBS UUM dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan UNESCO akan mewujudkan modul seni persembahan teater tradisional Mek Mulong. Modul itu dijangka siap awal tahun depan.
“Hasil penelitian PBS didapati berlaku begitu banyak perbezaan dan pendirian ideologi daripada tatabentuk persembahan muzik, tari, lakonan dan persediaan bagi mempersembahkan warisan ini. Sebabnya selama kewujudannya belum pernah dibuku secara eksklusif dan lengkap,” katanya.
Jadi bahan rujukan
Asmawiza memberitahu, modul khas itu kelak akan didokumentasi sebagai rujukan bertauliah kepada pusat pengajian, institusi, agensi kerajaan dan swasta. Ia bagi memastikan kelestarian struktur seni persembahan teater tradisional Mek Mulong kekal walaupun mendepani transisi pemodenan.
Tambahnya, pihak PBS UUM juga telah menganjurkan bengkel Pemerkasaan Budaya dan Kesenian Negeri Kedah bagi mendapatkan informasi dalam melengkapkan modul pembelajaran persembahan Mek Mulong November lalu.
“Penganjuran bengkel menerusi program pemerkasaan Mek Mulong itu juga memberikan peluang khususnya mahasiswa universiti untuk mula mengenali dan mengkaji informasi Mek Mulong sebelum memulakan sesi bengkel bersama fasilitator yang khusus.
“Mahasiswa bukan sekadar menyertai bengkel sekadar untuk membuat persembahan tetapi juga mempelajari dan menggali sendiri elemen Mek Mulong yang begitu unik.
“Sekali gus diyakini warisan Mek Mulong ini akan tetap dapat diwarisi dan dikenali serta dihargai oleh masyarakat serantau di masa hadapan walaupun zaman berubah,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Kelab Teater Warna, UUM, Nurizni Mohd. Yusoff berkata, kelab tersebut pernah mementaskan teater Mek Mulong dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) Kedah menerusi program ‘Satu IPT Satu Produk’.
Menurutnya, persembahan teater bersama beberapa orang tokoh seni Mek Mulong di Kedah itu bertujuan memperkasakan lagi kesenian tradisional yang unik.
“Kelab Teater Warna dan PBS UUM juga merancang untuk mengadakan lagi persembahan teater Mek Mulong pada pertengahan tahun hadapan,” katanya.
Menurutnya, beliau berbangga apabila ramai pelajar di UUM yang berminat dengan persembahan teater tradisional itu.
“Penyertaan generasi muda dalam persembahan teater Mek Mulong cukup penting sebagai pewaris untuk mempertahankan warisan kesenian tersebut,” ujarnya.










