Hormati aspirasi majoriti rakyat - Utusan Malaysia

Hormati aspirasi majoriti rakyat

GAMBAR yang dirakam pada 23 Februari 2020 membabitkan pertemuan lapan pemimpin Melayu di rumah Tun Dr. Mahathir Mohamad di Seri Kembangan, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH di penghujung tahun. Aspirasi rakyat terhadap dunia politik tanah air semakin jelas. Mereka mahukan kestabilan. Keputusan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu di Melaka dan terbaharu di Sarawak jelas menghantar mesej bahawa rakyat memilih stabil, makmur dan progresif.

Tidak perlu banyak tawar-menawar, kerana rakyat semakin faham dan kenal siapa dan parti mana yang boleh disandar keyakinan menerajui pemerintahan. Kedua-dua PRN berjalan dengan tenang dan lancar. Tanpa ada huru-hara atau kekecohan.

Suatu kegagalan bagi sesetengah pihak yang sengaja mahu mengeruhkan keadaan, dengan menyimpan harapan untuk kemungkinan menangguk di air yang keruh. Rakyat ternyata lebih bijak menilai. Memberi kemenangan dengan majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara syarat menegak kestabilan.

Kestabilan memberi makna besar kepada peluang bagi mengatur tadbir urus negeri tanpa gangguan dan halangan. Dan sememangnya, kestabilan menjamin pembangunan negeri dan kebajikan rakyat tidak terencat. Sebaliknya rugi, jika urusan pentadbiran negeri sentiasa terbelit dengan sengketa politik yang tiada berkesudahan.

Sentimen rakyat ke arah kebaikan ini perlu dihormati. Tanggungjawab besar setelah diberi mandat besar oleh rakyat ialah menunaikan manifesto atau janji pilihan raya. Rakyat mengharapkan kebajikan mereka terbela, selain mahu melihat negeri-negeri meningkat maju.

Mereka mengidamkan kemudahan asas dipertingkatkan. Juga berharap, taraf kehidupan dan kadar pendapatan bertambah baik.

Rakyat Melaka dan Sarawak menghadiahkan ‘sinar baharu’ menjelang tahun baharu 2022 kepada Malaysia. Sinar untuk membawa kehidupan keluar dari lingkaran percaturan politik yang berpanjangan kepada fokus untuk damai, bersatu padu, maju dan selamat. Dan mungkin ini juga merupakan manifestasi keinginan rakyat Malaysia pada umumnya.

Trend itu patut diteruskan ke Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan seterus dalam konteks kehidupan berpolitik di Malaysia sepanjang masa. Malu, jika masih ada kecenderungan besar dalam kalangan pemimpin-pemimpin politik yang tercari-cari untuk mengaut keuntungan demi kepentingan peribadi, puak atau kaum melalui berpolitik.

Kembalilah bertaut mesra, menghimpun sepakat demi agama, bangsa dan tanah air. Nafikan persepsi, rupa-rupanya pepatah yang menyebut biduk berlalu kiambang bertaut; air dicincang tak akan putus; carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga dan beberapa lagi bahasa kiasan warisan berzaman sukar diadaptasi dalam kalangan orang-orang politik.

Hentikanlah mempamerkan ‘ukhwah politik’ sukar bercantum, sepakat sebangsa sukar terhimpun, sengketanya tanpa penghujung, resah rakyat pun tidak terbendung, akhirnya apa dan siapa yang untung?

KERJASAMA
Hayatilah aspirasi rakyat sebenar. Sejarah politik dan tadbir urus negara mencatatkan, kestabilan dapat dinikmati pada tempoh yang begitu lama. Lebih enam dekad negara maju, makmur dan mampu memberi nikmat kemajuan kepada semua. Rakyat hidup penuh muhibah dan bersefahaman. Kenapa suasana itu tidak dapat dikembali atau dikekalkan?

Seperti yang diramal, rakyat Sarawak menghantar isyarat bahawa keputusan PRN kali ini terus menzahirkan sikap sebenar mereka yang simple dan terbuka. Silap, kalau ada yang menuduh rakyat Sarawak bersifat kenegerian.

Mereka sebenarnya bersikap ‘sedia menerima’ sambil mengharapkan kemakmuran dan kestabilan. Mereka sedar, proses pembangunan tetap hadir menelusuri peredaran masa dan keadaan. Jadi, yang cuba menuntut berlebihan itu siapa?

Sesuai dengan slogan Keluarga Malaysia kerajaan ketika ini, elok disusuli dengan pendekatan mesra berpadu di semua peringkat dan segmen masyarakat. Jika kerajaan bersedia menghulur kerjasama lebih bermakna termasuk dengan parti-parti pembangkang, kenapa tidak dikembangkan semangat itu pada erti kata lebih bermakna dalam sektor-sektor lain termasuk politik dan kemasyarakatan?

Dijangkakan PRU15 tidak sampai pun setahun lagi. Kalau semua pihak benar-benar berpegang pada slogan perjuangan yang sama dan bermatlamat yang serupa, yakni demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air, kenapa tidak dicari jalan penyelesaian untuk mengeratkan kerjasama dan kesepaduan pada erti kata sebenar?

Ke mana agaknya destinasi pelayaran politik tanah air? Jika menuju ke daratan yang diharap menjanjikan kemajuan, keselamatan dan kemakmuran, layarilah bahtera dengan cermat dan harmoni.

Pelayaran terutama di suasana lautan yang semakin bergelora memerlukan bahtera yang lebih kuat dan bersaiz sesuai. Rugi jika hanya menumpang perahu yang keadaannya ke tepi tak sampai, ke tengah tenggelam.

Kembalilah ke pangkal jalan. Bertemulah semula pada titik harmoni berpadu, yang boleh menguntungkan semua. Lagipun, boleh dikatakan kebanyakan yang bertebaran sekarang berasal dari sarang yang sama.

Jika dahulu boleh tidur sebantal, makan bersama kenapa tidak sekarang? Peliknya semakin meningkat usia, semakin melebar pula sengketanya.

Carilah damai. Bukan tempatnya yang sempit, hati sahaja yang kurang lapang. Bukan rezekinya yang sedikit, tetapi syukurnya masih berkurang. Hidup saling perlu memerlukan.

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×