PABILA 17 Disember tiba lagi tahun ini, hati terusik kerana hajat saya tahun ini tak kesampaian, bagai camar melintas laut mencari pohon untuk berteduh. Perasaan seperti lagu Awan Yang Terpilu umpama mimpi yang tersimpan menjadi rintik-rintik hujan, menciptakan awan yang terpilu.
Di sini, izinkan saya titipkan doa kepada insan yang begitu istimewa di mata hati saya. “Selamat hari lahir, Tan Sri,” ucapan kepada Tan Sri setiap tahun masih segar. Setiap tahun ucapan itu akan disampaikan dan diraikan bersama-samanya kerana saya dan Profesor Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh selaku penulis buku Memori Seorang Jeneral turut lahir pada Disember selang beberapa hari selepas Allahyarham.
Setelah kehilangan tokoh yang amat saya kagumi ini, tradisi menyampaikan ucapan ‘Selamat hari lahir’ tetap ingin dititipkan kepada seorang ikon pemimpin dalam ketenteraan yang amat saya hormati dan kagumi, iaitu Allahyarham Jeneral Tan Sri (Dr.) Mohd. Ghazali Che Mat yang lahir pada 17 Disember 1930. Walaupun seseorang yang kita kagumi telah meninggalkan kita semua, hari lahirnya tetap kekal dalam kenangan apatah lagi kepada saya yang begitu terkesan kerana kehilangan tokoh yang amat bermakna dalam perjalanan hidup saya menjiwai sanubari kepimpinan bersendikan kebijaksanaan.
Penghargaan saya dengan mengangkat wira tak didendang dengan memulakan kata-kata penutup Allahyarham dalam Memori Seorang Jeneral: “Allahyarham ingin mengingatkan kaum keluarga Allahyarham bahawa kelulusan tinggi sahaja tidak mencukupi. Sikap positif dan ikhlas adalah sangat penting untuk menghasilkan cita-cita mereka. Sebagai insan biasa mereka tidak dapat lari daripada menghadapi beberapa masalah di dalam liku-liku hidup mereka. Tetapi kalau mereka mengkaji secara mendalam dan ikhlas maka akan dapat melihat beberapa rahmat yang tersembunyi di dalam sesuatu kesukaran itu. Pada masa itulah bagi mereka membuktikan siapa mereka sebenarnya dan sejauh mana mereka dapat bertahan dan melawan itu memerlukan usaha dan terus berusaha dan jangan cepat mengalah. Hasilnya terserah kepada Allah SWT.”
Sepanjang mengenali tokoh ini, saya dapat merasakan jiwa kehambaan yang tinggi kepada Pencipta-Nya, begitu siginifikan dengan tokoh ini. Seorang yang sentiasa optimis, Allahyarham sentiasa mengingatkan kepada semua akan tanggungjawab yang diamanahkan kepada setiap daripada kita.
Kepimpinan Allahyarham sebagai pegawai tentera melayakkan Allahyarham berada di kedudukan tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Allahyarham mula menyertai ATM pada 1953 sebelum bersara sebagai Panglima Angkatan Tentera pada 1987.
Dalam arena pendidikan, Allahyarham dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam istiadat konvokesyen keempat pada 2013. Di situlah bermulanya, peluang saya menulis buku biografi Allahyarham dan kenangan menulis buku ini bersama Allahyarham cukup bermakna.
PANGLIMA GAGAH BERANI
Dalam Memori Seorang Jeneral, dua peristiwa pada zaman Perang Dunia Kedua telah mendorong Allahyarham yang berasal dari Lenggong, Perak untuk menyertai angkatan tentera.
Pertama, patriotisme yang diterap semasa di bawah pemerintahan Jepun dan kedua, keganasan tentera Bintang Tiga MPAJA yang mengakibatkan beberapa orang yang terdekat dengan keluarganya terkorban.
Ketika zaman darurat, beberapa operasi membanteras pengganas komunis yang Allahyarham pimpin membuahkan hasil yang mampu menarik perhatian pucuk pimpinan angkatan tentera yang masih di bawah pentadbiran Inggeris sehingga membawa kepada penganugerahan pingat yang amat berprestij, Panglima Gagah Berani (PGB) kepada Allahyarham seawal 31 Ogos 1957.
Sebelum itu, Allahyarham pernah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 1983 dan turut memegang beberapa jawatan lain ketika berkhidmat, antaranya Ketua Turus Jabatan Perisikan, Pengarah Pasukan Petugas VII Jabatan Perdana Menteri, Komander Pertama Briged Infantri Kesembilan dan Atase Tentera Kedutaan Malaysia di Jakarta.
Selepas bersara, Allahyarham dilantik sebagai pengerusi di sebuah akhbar penerbitan tempatan selain menjadi pengerusi sebuah syarikat di bawah Kementerian Pertahanan sebelum melepaskan jawatan tersebut pada Julai 2019.
Kata-kata Allahyarham sentiasa terngiang-ngiang di telinga kerana setiap pesanan Allahyarham akan diingati dengan kata-kata semangat yang diberi sepanjang masa: “Pemimpin yang baik ialah sentiasa menjaga organisasi dan pastikan memupuk perpaduan dalam kalangan kita. Paling penting pokok pangkalnya hati, maka hati kita mesti baik.”
Terima kasih Tan Sri kerana memberi peluang untuk saya menulis buku Memori Seorang Jeneral. Sebuah penghargaan yang tidak akan saya lupakan sehingga ke akhir hayat saya. Sebagai Keluarga Malaysia, saya bawakan perkongsian ini agar semua pembaca beroleh manfaat demi negara kita yang tercinta ini. Jasa Allahyarham sentiasa harum subur di hati.
Sudah pasti rakan-rakan Muslim akan menyebut begini, sedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham. Jika sudi membacakannya, amatlah saya mengerti bahawa Yang Maha Kuasa merahmati Allahyarham. Bagi rakan-rakan pembaca lain, anda boleh turut seperti saya, sentiasa mendoakan negara kita ini sentiasa dipimpin oleh insan seperti Allahyarham.
Saya yakin dengan penuh mendalam, wira seperti Allahyarham amat kita nanti-nantikan untuk diwariskan negara gemilang ini kepada generasi akan datang. Allahyarham sentiasa bertakhta sebagai wira di hati kita semua.
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat, Jaringan Industri & Perhubungan Antarabangsa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan penulis buku Memori Seorang Jeneral.










