Selamatkan penyu ikut prinsip Islam - Utusan Malaysia

Selamatkan penyu ikut prinsip Islam

PENYU memainkan peranan penting dalam rangkaian ekosistem marin dan kelangsungan hidup manusia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, sering dilaporkan kes-kes kematian melibatkan spesies penyu di persisiran pantai negara. Menurut Jabatan Perikanan Pahang, sepanjang 2017 hingga 2019, sebanyak 80 kes kematian penyu agar dan lipas direkodkan di daerah-daerah Pekan dan Rompin.

Turut dilaporkan kadar kematian penyu di Terengganu berada pada tahap membimbangkan dengan 55 kes direkodkan Jabatan Perikanan Terengganu sepanjang tahun lalu. Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 20 kes kematian dilaporkan kepada jabatan.

Angka-angka ini pastinya membimbangkan kerana ia menunjukkan kadar kematian yang dilaporkan sahaja. Mungkin jumlah sebenar adalah lebih besar kerana tidak mustahil terdapat juga kes-kes yang tidak dilaporkan kepada jabatan.

Kebanyakan kes yang dilaporkan adalah disebabkan tersangkut pada pukat nelayan, kemalangan akibat kipas bot pelancong, perbuatan khianat membunuh ibu penyu untuk mencuri telur dan pencemaran plastik di laut apabila reptilia berkenaan memakan sisa plastik yang disangkakan obor-obor. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlanjutan kerana kepupusan penyu akan memberi kesan besar bukan sahaja kepada ekosistem marin tetapi juga manusia yang banyak bergantung kepada sumber marin untuk kelangsungan hidup seharian.

Justeru, usaha memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan memelihara penyu perlu dipergiat dan dipromosikan dengan meluas. Usaha ini penting agar masyarakat lebih prihatin dalam tindak tanduk seharian dan aspek penjagaan alam sekitar supaya tidak menjadi penyumbang kepada kemerosotan spesies berkenaan.

Masyarakat perlu disedarkan, setiap makhluk yang diciptakan Allah SWT di atas muka bumi ini mempunyai peranan masing-masing, yakni saling berinteraksi dan berkesinambungan antara satu sama lain bagi memastikan keseimbangan ekosistem terus terpelihara.

Hal ini sebagaimana dinukilkan dalam al-Quran menerusi firman-Nya dalam surah al-Qamar, ayat 49 bermaksud: “Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).”

Dalam surah ar-Ra’ad, ayat 8 Allah SWT berfirman yang bermaksud: “…dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisi-Nya dengan kadar yang tertentu.”

Bagi spesies penyu, ia memainkan peranan cukup besar dan penting dalam ekosistem marin. Dalam konteks ini, rangkaian yang terbentuk akan saling mengikat antara satu sama lain. Sekiranya ikatan ini terpisah, maka ia akan memusnahkan hidupan marin yang lain.

Sebagai contoh, spesies yang memakan rumpai laut seperti penyu agar akan membantu merapikan rumpai laut. Ia akan membolehkan lebih banyak cahaya matahari sampai ke dasar laut, sekali gus membantu rumpai laut untuk tumbuh lebih subur dan sihat. Rumpai laut yang subur dan sihat ini pula akan berperanan membebaskan oksigen dan menyerap karbon dioksida sebagai proses fotosintesis.

Dalam kitaran ini, oksigen yang dibebaskan bertindak menstabilkan kandungan oksigen di dalam laut, sekali gus membantu kelangsungan hidup spesies marin lain seperti ikan, sotong, ketam dan sebagainya.

Selain itu, kewujudan penyu dapat membantu menstabilkan jumlah populasi pemangsa dan mangsa dalam ekosistem marin. Misalnya, terdapat spesies penyu yang menjadi pemangsa kepada tapak sulaiman dan obor-obor.

Sekiranya penyu pupus, ia akan menyebabkan berlakunya kemusnahan serius terhadap ekosistem marin. Ia akan menyebabkan sesetengah kawasan dipenuhi obor-obor sahaja kerana sistem rangkaian di dalam ekosistem berkenaan telah terganggu.

Apabila obor-obor membiak dengan banyak, ia akan memakan hidupan marin lain terutamanya ikan. Apabila keadaan ini berlaku, ia akan merencatkan pertumbuhan dan pembiakan populasi ikan pada masa akan datang. Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan jumlah ikan berkurang dan paling membimbangkan mengalami kepupusan.

Begitu juga sekiranya penyu yang menjadi pemangsa kepada tapak sulaiman pupus, ekosistem terumbu karang juga akan diancam kemusnahan akibat di makan oleh tapak sulaiman kerana sudah tiada lagi pemangsa di kawasan tersebut. Bagi penyu yang memakan alga merah pula, apabila spesies tersebut pupus, alga merah akan membiak dengan banyak seterusnya membunuh ekosistem terumbu karang. Apabila ekosistem terumbu karang musnah, ia akan turut merencatkan populasi ikan di dalam habitat berkenaan.

Justeru, melihat kepada peranan penting dimainkan oleh penyu, maka menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kelangsungannya terus terpelihara. Sementelah, terdapat beberapa prinsip penting yang telah digariskan oleh Islam berkaitan hubungan antara manusia dengan alam dan segala komponen yang ada di dalamnya yang sewajarnya dihayati oleh kita dengan baik.
Prinsip pertama, Allah SWT tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Setiap ciptaan-Nya menjadi bukti kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.

Seterusnya prinsip kedua, manusia merupakan sebahagian daripada alam ciptaan Allah SWT dan mempunyai hubungan yang rapat dengan alam sekitar. Manusia juga ditugaskan sebagai khalifah yang bertanggungjawab untuk menguruskan bumi dan segala komponen di dalamnya sebaik mungkin.

Firman Allah SWT dalam surah Hud, ayat 61 yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi dan menghendaki kamu memakmurkannya…”

Prinsip yang ketiga, konsep keadilan dalam Islam meliputi semua makhluk termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya di atas muka bumi. Seterusnya prinsip terakhir, manusia tidak berhak untuk mengeksploitasi sumber alam sewenang-wenangnya kerana segalanya adalah milik mutlak Allah SWT.

Justeru, sama-sama kita renungkan dan hayati prinsip-prinsip yang digariskan ini agar ia dapat diterjemah dan dipraktikkan dengan baik demi kelestarian alam sekitar dan kelangsungan seluruh hidupan di dalamnya.

PENULIS ialah Felow, Pusat Kajian Sains & Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×