Setiap orang pastinya mempunyai hobi tersendiri dan ada yang tidak kisah berusaha mencari dan mengeluarkan perbelanjaan lebih demi minat tersebut.
Begitu juga bagi Muhammad Aiman Abdullah,33, dari Arau, Perlis yang mempunyai hobi mengumpul mata wang atau syiling pada zaman kesultanan Kedah dari pemerintahan kedua sehingga 24 iaitu merangkumi tahun 1179 sehingga 1854 Masihi.
Selain mata wang kesultanan Kedah, Muhammad Aiman juga mempunyai koleksi syiling kesultanan Melayu lain seperti Selangor, Pahang, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Johor dari tahun 1500 sehingga 1900 Masihi.
Dia mula mengumpul syiling tersebut dari tahun 2014 dan sehingga kini koleksinya sudah mencecah lebih 500 keping termasuk mempunyai pelbagai koleksi mata wang lain dari seluruh dunia sekitar tahun 1960 hingga 1970.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Aiman yang juga Pengerusi Kelab Gerila Sejarah Perlis berkata, antara koleksi paling lama dan cukup istimewa dimilikinya ialah mata wang kerajaan Srivijaya sekitar tahun 650 sehingga 1200 Masihi.
Katanya, dia juga mempunyai mata wang emas pada zaman pemerintahan Sultan Kedah kedua iaitu Sultan Muadzam Shah sekitar tahun 1179 hingga 1201 Masihi.
Ujarnya, antara koleksi lain adalah pada pemerintahan Sultan Muhyiddin Mansur Shah; Sultan Abdullah Muadzam Shah dan pelbagai lagi jenis mata wang sepanjang zaman kesultanan Kedah itu.
Dia memberitahu, koleksi syiling pada zaman kesultanan Kedah itu terdiri daripada emas, perak, tembaga dan timah.
“Pada masa itu (kesultanan Kedah) panggilan mata wang tersebut adalah seperti Tera, Tembaga, Tera Timah, Pitis, Darham, Tampang, Ingot, Bidor dan kupang.
“Kalau melihat kepada kewujudan syiling tersebut menunjukkan pada zaman terbabit tukar beli barang sudah menggunakan mata wang. Sudah lama sebenarnya mata wang digunakan khususnya untuk aktiviti perdagangan dan sebagainya,” kata peniaga itu.
Pernah jual syiling berharga RM18,000
Sepanjang tempoh tujuh tahun mengumpul wata wang lama, Muhammad Aiman telah membelanjakan lebih RM60,000.
Katanya dia juga pernah menjual syiling tersebut kepada pengumpul lain dengan harga sekitar RM3,500 iaitu kupang emas pada zaman kesultanan Kedah tersebut.
“Koleksi paling mahal pula boleh mencecah sehingga RM18000 iaitu mata wang pada zaman pemerintahan Sultan Muadzam Shah dari tahun 1179 hingga 1201 Masihi.
“Menjadi kepuasan kepada saya dapat mengumpul koleksi-koleksi syiling kesultanan Melayu itu. Selain itu, saya juga sering membuat kajian mengenai syiling atau mata wang tersebut khususnya berkaitan zaman kesultanan Kedah.
“Apa yang membuatkan saya sangat teruja mengumpul koleksi wang wang khususnya pada zaman kesultanan Kedah kerana ia adalah kesultanan paling tua di negara ini dan mempunyai sejarah cukup panjang,” katanya.
Katanya lagi, selain mata wang zaman kesultanan Melayu, dia juga ada mengumpul mata wang negara ini dari tahun 1950 sehingga terbaharu.
Anak sulung daripada dua beradik ini memberitahu, duit syiling dan kertas peringatan penting Malaysia seperti tahun kemerdekaan dan sebagainya turut ada dalam koleksinya.
“Saya akan terus mengumpul syiling dan mata wang ini khususnya pada zaman kesultanan Melayu yang mempunyai nilai sejarah tersendiri. Sasaran saya dapat melengkapkan lagi koleksi mata wang zaman-zaman kesultanan Melayu,” katanya yang menjalankan perniagaan beg dan mata wang lama tersebut.
Kata Muhammad Aiman, dia mempunyai harapan dalam tempoh akan datang dapat membuka galeri sendiri bagi mempamerkan mata wang Melayu tradisional ini.
“Ketika ini, koleksi syiling tersebut turut dipamerkan khususnya di sekolah-sekolah, perpustakan negeri dan muzium Kota Kuala Kedah,” katanya.










