PERDANA Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mewujudkan Bahagian Pelajaran Dewasa pada 1961 bertujuan membasmi buta huruf. Ketika itu ‘kelas dewasa’ berselerak di seluruh pelosok untuk mengajar orang dewasa membaca dan menulis.
Kemudian pada 1977, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) perkenalkan konsep Functional Literacy sebagai satu gerakan membasmi kemiskinan.
Sebenarnya tahap celik huruf mempunyai hubungan dengan pembangunan di sesebuah negara.
Dengan tahap celik huruf yang tinggi, pembacaan menjadi penyumbang pada pemikiran yang luas. Dalam kata lain, celik huruf bermakna tidak buta maklumat.
Bagaimanapun, cabaran Tunku membasmi buta huruf tentu tidak sesukar mencelikkan rakyat pada media.
Pada kemuncaknya era maklumat ini lebih banyak yang buta media berbanding buta huruf zaman Tunku. Buta media lebih bahaya kerana tidak mampu menyaring, membezakan antara sampah dengan permata.
Kalau Tunku masih ada, Almarhum juga pasti bertungkus lumus sekali lagi untuk membasmi buta media dalam kalangan cerdik pandai yang tidak bijaksana. Mereka cerdik dan pandai tetapi tidak bijaksana menilai, menyaring dan faham manipulasi media.
Definisi media adalah semua medium yang memberi maklumat, tidak kira palsu atau benar. Lurus atau penuh muslihat.
Sekarang adalah kemuncak penguasaan media ke atas manusia. Kebutaan membuatkan semua kecanggihan teknologi maklumat tidak dapat dimanfaat, sebaliknya mengundang kerosakan dan kemusnahan.
Media menjadi industri yang bukan sahaja berpengaruh, tetapi menjana beratus bilion dolar di peringkat global. Media dalam konteks hari ini bukan lagi yang konvensional seperti surat khabar, radio atau televisyen seperti dekad 1980-an.
Media adalah segalanya dalam hidup kita. Di sekeliling pinggang kita. Ekosistem media tumbuh dengan rancak selari tuntutan kehidupan manusia moden pada media.
Kalau diperhaluskan lagi, semua kandungan kreatif yang boleh diakses, misalnya menerusi telefon pintar adalah media.
Ciri-ciri media adalah perantara yang boleh membawa dua perkara, pertama maklumat dan keduanya, mempengaruhi khalayak.
Telefon pintar dan kadar penembusan internet yang tinggi di negara ini adalah ekosistem yang merancakkan industri media.
Menonton filem bukan sahaja di pawagam tetapi di mana-mana – di rumah, pejabat malah dalam tandas sekalipun. Filem itu media yang digunakan oleh banyak negara Barat untuk menyebarkan propaganda dan juga soft power.
Ahli sains politik terkemuka, Joseph Nye yang memperkenalkan konsep soft power pada awal 1980-an menyimpulkan, propaganda terbaik adalah yang bukan propaganda.
Propaganda terbaik adalah yang puitis dan lunak, penuh pujukan, keyakinan, dan paling penting bukan paksaan.
Dalam bukunya, Bound to Lead: The Changing Nature of American Power (1990), Joseph Nye menulis: “Apabila sebuah negara mahu supaya negara lain bekerjasama secara mesra dan tidak mengarah melakukan itu dan ini secara paksaan, itulah soft power.”
YOUTUBE, TIKTOK
Filem, kandungan televisyen, media sosial, YouTube, TikTok dan sebagainya adalah media. Tetapi berapa banyak pemilik telefon pintar mampu ‘membaca’ kandungan tersirat seperti yang dimaksudkan Joseph Nye?
Kalau kita buta media, tidak cakna ideologi dan tidak berilmu, kita pasti menelan semua itu tanpa mengunyah lagi. Pemilik telefon pintar boleh mengakses segala macam isi kandungan kreatif – dalam dan luar negara dengan bebasnya.
Tidak terkejar badan pengawal moral seperti Lembaga Penapis Filem (LPF), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setelah secara kolektif kita menerima dasar langit terbuka.
Ketika ini heboh mengenai sebuah siri yang memapar kehidupan seks sejenis di aplikasi gay. Siri itu turut dilakonkan oleh seorang budak Melayu, sudah tentu memegang watak gay. Kita hanya boleh bising. Bagaimana untuk berdepan dengan kandungan media yang seperti ini?
Menapis atau menyekat sudah tentu sukar untuk dilakukan. Membiarkan pula tentu merosakkan terutama budak-budak Melayu yang perasan sudah hebat di bawah tempurung hedonisme.
Tambahan pula mereka ini bagai lembu dicucuk hidung oleh sayap-sayap sosial yang disekutukan dengan kemodenan.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD), industri kreatif global bernilai RM6.7 trilion (AS$1.6 trilion).
Mewujudkan 29.5 juta peluang pekerjaan atau satu peratus daripada populasi aktif di dunia. Di negara kita pula, daripada populasi 31.83 juta penduduk, sebanyak 74 peratus atau 24 juta orang mempunyai akaun media sosial yang merupakan suatu jumlahyang besar.
Angka ini juga kelihatan selari dengan kadar penembusan internet sebanyak 79 peratus atau 25 juta orang pengguna.
Angka-angka di atas menunjukkan media sosial juga muncul sebagai kuasa media yang baharu dalam mempengaruhi pemikiran khalayak terhadap banyak perkara dalam kehidupan.
Walaupun ternyata bukan sumber maklumat, tetapi sebahagian besar tetap merujuk media sosial untuk mendapatkan ‘kesahihan.’
Memiliki telefon pintar bukan dengan sendirinya menjadikan individu berkenaan pintar, bijaksana, celik media dan cakna akan segala ideologi yang disumbat dalam media.
Tidak sama sekali. Mereka mungkin sekadar celik huruf dan arif teknologi. Sebahagian daripada mereka ternyata buta media yakni tidak faham tentang manipulasi, perang psikologi serta kecenderungan tertentu yang tersirat.
Inilah masalah besar yang kita sedang hadapi. Sebahagian remaja Melayu hanya berbangga memegang telefon pintar, tetapi hakikatnya seperti lembu dicucuk hidung.
Perkara paling utama untuk berdepan dengan dasar langit terbuka ialah khalayak yang celik media, berilmu, mempunyai cakna yang tinggi terhadap sebarang ideologi. Mesti mempunyai kemampuan tinggi untuk membuat tapisan kendiri (self censorship).
Bagaimanapun, keupayaan membuat tapisan kendiri juga tidak datang dengan sendiri. Semua ini memerlukan ilmu, celik manipulasi media dan faham ideologi. Kalau tanpa ilmu, tentu sukar membezakan nilai baik dan bobrok yang berlambak di internet.
Maknanya, melahirkan khalayak berkualiti mesti menjadi matlamat utama. Inilah benteng untuk menahan rempuhan gelombang ganas era langit terbuka.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada pemimpin kita cakna akan hal-hal yang tidak bernilai di pasaran politik.
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.











