Mi kari sambal padu enak mudah disediakan - Utusan Malaysia

Mi kari sambal padu enak mudah disediakan

Mi kari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERECIK peluh di dahi tatkala menikmati sajian mi kari yang dihidangkan panas dan berasap kuahnya.

Lebih sedap mi kari dimakan bersama sambal pedas. Yang pasti, mi kari wajib dihidangkan dengan kuah yang pekat, makanan laut seperti kerang dan udang serta tauhu kering. Baharulah, ‘terasa’ sajian mi kari yang sebenar.

HAYATI FARHAN

Hidangan Mi Kari Sambal oleh Hayati Farhan ini merupakan resipi daripada arwah ibunya.

Untuk yang tidak menggemari mi kuning, boleh sahaja gantikan dengan mihun. Jangan dilupa sambal untuk rasa yang lebih padu. Selamat mencuba!

Resipi Mi Kari Sambal

Bahan-bahan mi kari:

1 bungkus mi kuning
Setengah bungkus mihun
500 gram isi ayam
1 kilogram (kg) kerang
1 kg udang
1 paket bebola ikan
8 biji tauhu kering (dipotong dua)
1 kotak santan
2 ikat sawi
Seikat kacang panjang
300 gram taugeh
3 tangkai lada merah (dihiris)
4 sekawan (kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, cengkih)
2 sudu besar rempah kari
1 ulas bawang merah besar (dikisar)
3 ulas bawang putih (dikisar)
2 sudu besar cili kering yang telah dikisar
1 batang serai (diketuk)
2 keping asam gelugur atau asam keping

Cara penyediaan bahan rebusan:

1. Basuh terlebih dahulu mi kuning. Kemudian rebus mihun. Angkat, tos dan ketepikan.
2. Rebuskan udang (simpan air rebusan udang).
3. Rebus kerang dan kukus isi ayam. Ketepikan semua bahan.
Cara penyediaan kuah kari:

1. Panaskan minyak. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga naik bau dan kekuningan. Masukkan cili kering. Tumis hingga cili betul-betul masak. Masukkan serai dan asam keping.
2. Masukkan rempah kari. Masak sehingga pecah minyak. Masukkan air rebusan udang yang disimpan dan tambah sedikit air.
3. Masukkan santan. Biarkan sehingga kuah mendidih.
4. Masukkan bebola ikan dan tauhu kering.

Cara penyediaan sayur atau ulam-ulaman:

1. Potong kacang panjang dalam dua inci dan hiriskan lada besar.
2. Celurkan sawi dan taugeh.

Bahan-bahan sambal:
6 hingga 10 tangkai cili kering
1 biji bawang besar
Segenggam udang kering
Sedikit garam dan gula

Cara penyediaan sambal:

1. Rebus cili kering, kisar bersama bawang dan udang kering.
2. Tumis semua bahan. Tambah garam dan gula. Kacau sebati. Siap untuk dihidangkan bersama mi kari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×